Monday, July 23, 2018

FAMA bina pasar raya di Shah Alam

Mohd Zaini Samsu Hadi
Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media ketika hadir sesi taklimat bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pejabat FAMA Point, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

GOMBAK – Sebuah pasar raya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan dibina di Shah Alam selewat-lewatnya hujung tahun depan.

Langkah itu diambil bagi memasarkan produk keluaran usahawan FAMA, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, projek perintis (pasar raya) itu diperlukan kerana jenama dan produk FAMA semakin mendapat sambutan rakyat.

“Pasar raya itu juga bertujuan meningkatkan lagi perkhidmatan kita kepada masyarakat dan kita jamin harga yang ditawarkan lebih rendah daripada pasaran biasa,” katanya selepas menghadiri taklimat bersama Timbalannya Sim Tze Tzin di ibu pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, hari ini.

Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, pasaraya tersebut akan menempatkan hasil jualan usahawan tani yang semakin banyak dikeluarkan.

Antara lain kata beliau, langkah untuk membina pasar raya berkenaan juga adalah selepas melihat pasar-pasar tani di Shah Alam telah memberikan kesan besar kepada penduduk yang bermastautin di kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini pihaknya belum lagi menentukan kos pembinaan pasar raya tersebut kerana ia masih lagi pada peringkat cadangan dan perbincangan. – MalaysiaGazette


No comments: