Sunday, July 1, 2018

Dituduh terkait 1MDB, PAS gesa siasat akaun HARAPAN

MALAYSIAKINI

   

Pakatan Harapan (HARAPAN) seharusnya turut menyiasat akaun bank sekiranya gabungan itu benar-benar mengikut proses demokrasi kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Idris berkata HARAPAN kini ‘hanya main langgar’ dan membuat tuduhan fitnah terhadap PAS dengan menuduh akaun parti itu mempunyai kaitan dengan 1MDB.

“Mungkin HARAPAN tidak perasan dia sudah memerintah. Jangan lupa juga tolong siasat akaun parti HARAPAN sama,” kata Idris melalui kenyataannya di Facebooknya, hari ini.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membekukan 900 akaun bank yang didakwa terlibat dengan siasatan kes 1MDB.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut mendedahkan SPRM membekukan akaun bank Umno dan Umno Selangor.

'Buktikan wang Umno sah'

Ahmad Zahid berkata Umno akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berkaitan pembekuan akaun bank berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Zahid berkata beliau akan berusaha membuktikan wang Umno adalah sah dan tiada kaitan dengan sebarang kegiatan penggubahan wang haram.

Susulan laporan berkaitan pembekuan akaun itu pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada Umno termasuk PAS.

Idris turut berkata, kerajaan boleh melihat akaun bank PAS bagi memastikan tiada kaitan dengan 1MDB, bagaimanapun, kata beliau ia hendaklah mengikut prosedur.

“Tapi ikut prosedurlah, bukan main hentam kromo dan guna media.




“Main-main arah dan tuduh supaya akaun PAS dibeku kerana terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad (gambar) melalui kenyataannya berkata cadangan pemimpin HARAPAN untuk membekukan akaun bank PAS adalah satu langkah awal ke arah mewujudkan negara satu parti.

Selain itu, beliau mendakwa kajian menunjukkan tidak sampai 30 peratus pengundi Melayu mengundi HARAPAN dan undi tersebut dikongsi bersama PAS dan Umno.

‘”Oleh itu kedudukan sokongan kepada HARAPAN adalah tidak kukuh. Mereka yang mengundi HARAPAN terutamanya ahli-ahli Umno boleh pada bila-bila masa meninggalkan HARAPAN.

'Pastikan Umno, PAS tak wujud lagi'

“Satu jalan keluar bagi HARAPAN adalah untuk memastikan Umno dan PAS tidak wujud lagi dengan membatalkan pendaftaran parti-parti tersebut.

“Langkah pertama adalah dengan membekukan akaun bank mereka. Langkah seterusnya mungkin dengan merampas aset dan akhir sekali membatalkan pendaftaran,” katanya.

Katanya, HARAPAN melakukan langkah tersebut bagi mengukuhkan kedudukan mereka dan mengalihkan tumpuan rakyat kerana kegagalan mereka menunaikan janji PRU lalu.

“Rampasan wang tunai dan barangan berharga yang cuba dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadi berita utama di dalam usaha untuk menutup kegagalan menurunkan harga minyak, kegagalan menghapuskan tol, kegagalan menurunkan kos sara hidup dan kegagalan-kegagalan yang lain,” katanya.


No comments: