Thursday, July 12, 2018

Dewan Rakyat akan datang patutnya lebih matang, teratur

 
   

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-14 dijadual bermula pada Isnin, 16 Julai ini.

Sudah pasti ia akan menjadi tumpuan ramai kerana ia merupakan sidang kali pertama selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pentadbiran kerajaan yang dikuasai BN sejak lebih 60 tahun lalu.

Pada sesi lalu perjalanan sidang Dewan Rakyat kerap menyaksikan pertikaman lidah antara wakil pembangkang dengan kerajaan.

Malah pada ketika tertentu perbalahan itu melampaui batas kesopanan, sehingga terhambur pelbagai kata nista. Antara puncanya ialah speaker didakwa pembangkang gagal bertindak adil dan tidak memuaskan.

Justeru bagi Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sidang akan datang diharap dapat berlangsung dalam suasana lebih terkawal serta matang.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata jika boleh tiada lagi sebarang ketegangan yang tidak perlu berlaku di dewan yang sering dirujuk sebagai "mulia" itu.

"Saya berharap sidang parlimen yang akan ini akan lebih hebat dari sidang lalu. Tidak ada ketegangan yang tak perlu.

"Kita mengharapkan agar perbahasan berlangsung berpandukan kepada peraturan mesyuarat dan tidak ada percakaran agar perbahasan dibuat dalam keadaan yang teratur serta mengikut tata cara peraturan mesyuarat.

"Hargai peranan yang disumbangkan oleh wakil kerajaan dan pembangkang kerana setiap anggota parlimen mempunyai peranaan untuk martabatkan institusi parlimen," katanya kepada Malaysiakini.

Perbahasan lebih menarik

Sebelum ini perjalanan sidang Dewan Rakyat dikendalikan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai speaker, manakala Ronald - bersama Datuk Seri Ismail Mohamed Said - bertindak sebagai timbalan.

Bagaimanapun dengan pembentukan kerajaan HARAPAN hampir pasti jawatan itu akan diisi oleh tokoh lain.

Pandikar sendiri tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu dan bukan menjadi pilihan kerajaan atas faktor beliau ialah bekas pemimpin Umno Sabah.

Namun menariknya sidang kali ini tetap dihadiri oleh Ronald dan Ismail. Cuma mereka bukan lagi akan diberikan kerusi di bahagian kanan speaker.




Ronald memenangi kerusi parlimen Beluran, Sabah, manakala Ismail di Kuala Krau, Pahang.

Di bahagian kanan, seramai 122 kerusi akan diisi oleh anggota Dewan Rakyat mewakili HARAPAN, manakala di kiri ada 100 kerusi melibatkan wakil pembangkang dan bebas.

Dua daripada mereka ialah Ronald dan Ismail.

Kata Ronald, perbahasan kali ini juga akan menjadi lebih menarik kerana ramai anggota Dewan Rakyat terdiri daripada orang baru dan sebahagiannya masih muda.

"Jadi, perbahasan akan jadi lebih menariklah," katanya.




Menurut Ronald lagi anggota parlimen sepatutnya orang yang sudah matang dan tahu memainkan peranan masing-masing.

HARAPAN sudah menyenarai pendek beberapa nama calon untuk dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat.

Jika ada lebih daripada satu nama, undian akan dijalankan sebelum sidang Dewan Rakyat dapat dijalankan.

Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata setiap parti komponen mencadangkan calon masing-masing dan ia sedang dibincangkan dengan teliti.


No comments: