KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencadangkan agar UMNO bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu dalam senario politik semasa.
Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada UMNO akan bertanding atas tiket sendiri atau Barisan Nasional (BN) di PRK berkenaan bergantung kepada hasil perbincangan mesyuarat peringkat tertinggi BN.
“Kita perlu bertanding setiap PRK dan ini (PRK Sungai Kandis) akan menjadi latihan kepada UMNO untuk berkempen secara pembangkang buat pertama kali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi anggota panel pada Wacana Sinar Harian berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di sini hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong setelah penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR, meninggal dunia akibat kanser pada 2 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pula pada 21 Julai ini.
Mohamad berkata PRK DUN Sungai Kandis perlu dilihat sebagai satu langkah dalam usaha mengubah UMNO dan BN.
Selain Mohamad, wacana itu menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment