Sunday, July 1, 2018

Azmin: Harga munasabah selepas penstrukturan industri air Selangor

 
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, penstrukturan industri air di Selangor akan dimuktamadkan dalam masa terdekat mengikut perjanjian induk yang ditandatangani pada 2014.


Azmin Ali berkata, penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh akibat tiada persefahaman dan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat terdahulu. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan mengenakan tarif air munasabah selepas penstrukturan semula industri air negeri itu dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata, pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari baru-baru ini membincangkan perkara itu dan penstrukturan industri air di negeri itu akan dimuktamadkan mengikut perjanjian induk yang ditandatangani pada 2014.

“Penstrukturan semula perkhidmatan industri air di Selangor tertangguh untuk tempoh yang lama akibat tiada persefahaman dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebelum ini,
tetapi sekarang ia akan berjalan lancar kerana wujudnya kerjasama baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia dan menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Gombak, hari ini.

Turut hadir Amirudin dan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Sementara itu, Azmin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipilih menjadi presiden Umno baru bagi penggal 2018-2021.

“Saya berharap Zahid akan menjalankan tugasnya dengan baik (sebagai ketua pembangkang) dengan memberi kritikan membina dan memainkan peranan sebagai semak dan imbang untuk memastikan kerajaan PH mentadbir negara dengan telus dan bertanggungjawab.”

Zahid dipilih sebagai presiden Umno apabila mendapat 93 undi, jauh meninggalkan 2 pencabar utamanya, iaitu bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

Datuk Seri Mohamad Hasan pula dipilih sebagai timbalan presiden Umno selepas mendapat 110 undi menewaskan Ketua Penerangan Umno merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (47 undi) setakat semalam.

No comments: