Monday, July 2, 2018

Antara negarawan dan cendawan

Sitifatimah

 BM bukan bahasa untuk Melayu sahaja tetapi negara


SAYA semakin pelik melihat ultra kiasu ini. Lidah bercabang. Baru menang cakap lain. Lama sikit menang, jadi makin lain. Dahulu bila mula terlantik jadi menteri kanan, ditanya wartawan, apa perasaan jadi menteri kanan dalam kalangan orang Cina? Dia jawab, saya tidak lihat diri saya sebagai Cina, tetapi sebagai rakyat Malaysia (Malaysian). Tabik saya mendengarnya. Saya turut memuji.

Sama seperti ketika mereka memenangi Pulau Pinang PRU12 2008. Mula menang, mahu mencontohi pemerintahan Umar Abdul Aziz. Lama sikit menang, Umar Abdul Aziz dicampak entah ke mana.Pendek kata, semakin lama menang, bukan sahaja mereka semakin lantang, tetapi semakin berani dan bongkak sehingga mencabar kedaulatan negara.

Tidak berapa lama selepas menang, menteri yang sama, heboh diperkatakan, menggunakan bahasa Cina (Mandarin) dalam akaun FB beliau. Apabila ditanya, kenapa menggunakan bahasa Cina, dia menjawab, itu akaun milik peribadi, beliau berhak atas segalanya.

Beliau ternyata tidak dapat membezakan antara diri, sebagai individu, sebagai ahli politik, sebagai ahli politik yang menang dilantik jawatan menteri, dan seterusnya menjadi negarawan.

Seorang menteri adalah seorang negarawan. Bermakna, segala apa jua tindakan, yang boleh dilihat, seharusnya tidak dapat lari daripada sifat negarawan, termasuk akaun FB. FB tidak lagi boleh dianggap milik peribadi apabila ada pengikutnya. Apatah lagi jika pengikut terdiri dalam kalangan pelbagai kaum.

Jika kita yakin dan mengakui sebagai Malaysian, bermakna kita akan menjunjung agenda negara tanpa berbelah-bahagi. Salah satu agenda negara adalah menjunjung bahasa Melayu (BM), selaku bahasa negara atau bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa yang menyatukan, sebab kita mempunyai lebih 137 bahasa di negara ini.

Jika tidak ada satu bahasa sebagai bahasa perantara, nak berkomunikasi dalam bahasa apa?

Jika Melayu bertemu Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan lain-lain, bahasa perantara apa yang mahu digunakan jika bukan BM. Begitu juga bangsa lain bertemu dengan orang Cina. Pendek kata, penggunaan BM sebagai faktor penyatu, bukan isu kecil, tetapi teramat besar.

Tindakan menggunakan bahasa Cina dalam akaun FB, menampakkan bahawa ultra kiasu ini tidak kenal diri sendiri. Juga tidak faham apa yang selama ini disebutkan sebagai Malaysian.

Jika kita Malaysian, dalam soal bahasa, keutamaan yang perlu didaulatkan adalah, pertama BM, kedua adalah bahasa ibunda dan ketiga bahasa Inggeris dan seterusnya bahasa lain. Jika berlaku sebaliknya, kita bukan Malaysian lagi. Jauh sekali negarawan, tetapi cendawan.

Sebab itu saya suka kepada istilah yang digunakan oleh orang Cina di Indonesia. Cina di Indonesia tidak melihat diri mereka sebagai Cina, tetapi dikenali sebagai Indonesia Tionghua. Meletakkan Indonesia dahulu, kemudian baharu Cina. Sebab itu, mereka seolah-olah tidak ada beza dengan orang Indonesia.

Cina itu Indonesia, Indonesia itu Cina. Malangnya, kita letak Cina dahulu, selepas itu baharu Malaysia. Kiblat kita ke mana?

Saya mendengar kata-kata amaran daripada pemimpin Indonesia kepada orang Cina Indonesia. Jika kamu tidak mahu semangat anti-Cina berlaku, lebih baik kamu mengutamakan agenda negara, mendukung pancasila dan bahasa Indonesia. Jika kamu mengetepikan bahasa Indonesia, pasti akan berlaku gerakan antiorang Cina.

Justeru, tidak hairanlah jika penghayatan bahasa Indonesia dalam kalangan Indonesia Tionghua sangat tinggi. Kita masih jauh daripada penghayatan. Bercakap boleh atau tidak masih diragui. Peringatan ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua.

Saya teruja dengan dengan komen Adam Tanging, apabila memberikan pandangan mengenai salah atau tidak seorang menteri menggunakan bahasa Cina dalam FBnya. Katanya, memang salah.. secara tidak langsung dia mengagap kaum Cina adalah buta bahasa Kebangsaan belaka. Ini adalah satu penghinaan kepada kaum Cina.

Begitu juga dengan twitter Rhys William yang berbunyi: “Tahukah anda di Malaysia terdapat 137 bahasa-bahasa dari pelbagai suku kaum dan bangsa. Tetapi antara semua bahasa hanya satu bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Tetapi kenapa ada ramai warga negara Malaysia tak reti cakap BM ataupun malu nak cakap BM”.

Jika Rhys William orang putih, saya benar-benar rasa malu sebagai rakyat Malaysia. Lebih 60 tahun kita merdeka dan bergenerasi tinggal di bumi bertuah ini, masih ada orang yang masih meletakkan bahasa ibunda di tempat pertama, berbanding bahasa kebangsaan. Orang sebegini tidak layak tinggal di sini. Mereka sepatutnya mencari tempat lain yang lebih baik.

Pernah saya kongsikan sebelum ini bagaimana Cina dari negara China berkahwin dengan Cina Malaysia. Beliau amat terkejut melihat proses pencinaan di Malaysia begitu dahsyat. Mereka di China pun tidak secina di Malaysia. Sehingga beliau menasihatkan Cina Malaysia, supaya mengutamakan agenda negara seperti BM demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Sepatutnya ketika berucap di PBB pun, kita menggunakan BM biar mereka terjemahkan. Barulah menunjukkan BM kita penting, kita benar-benar Malaysian. Saya tidak bersetuju apabila pemimpin-pemimpin negara sebelum ini berucap dalam BI dalam perhimpunan PBB.

Lebih menjelekkan jika ada yang melakukan kesalahan dalam tatabahasa ketika berucapan dalam BI. Dalam PBB melambak penterjemah. Ucaplah dalam bahasa apa sekalipun, pasti diterjemah.

Cuba lihat Presiden Turki, Erdogen, apabila berucap dan berbahas dalam forum PBB. Semua dalam bahasa Turki. Ada beliau kisah orang lain faham ke tidak? Pokoknya, apabila kita berjaya menjadikan diri kita penting. Cakap lah bahasa apapun, segala apa yang dituturkan semuanya akan dianggap penting. Kelam kabut penterjemah menterjemahkan. Tidak faham lagi?

Sebagai rakyat Malaysia yang meletakkan BM sebagai sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara, apabila kita menulis, berbicara dan berdiskusi, apakah bahasa yang sepatutnya diutamakan? Bahasa mengikut bangsa kita? Dalam makna, apabila kita orang Cina, maka kita meletakkan bahasa Cina dan Tamil nombor satu?

BM bukan bahasa untuk orang Melayu, tetapi bahasa negara. Saya pun orang Cina, sebagai Malaysian, hidup mati saya sebagai rakyat Malaysia adalah BM dahulu, diikuti bahasa ibunda atau BI atau Arab. Jangan pergi jauh, lihatlah kenapa hari ini tidak ramai penyanyi dan pelakon dalam kalangan bukan Melayu seperti dahulu. Misalnya seperti Andre Goh, Dj Dave, Kenny Remy dan Martin dan banyak lagi. Mereka menyanyi sehingga menerbitkan air mata.

Kenapa hari ini boleh dikatakan tiada (ada) penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu Melayu seperti dahulu? Jika ada pun, penghayatan kosong. Menyanyi lagu sedih, tetapi muka nampak ceria dan gembira. Saya beri contoh penyanyi Jacklyn Victor. Suara dia (vokal) memang hebat, saya tidak nafikan, tetapi apabila menyanyi lagu Melayu tidak ada penghayatan. Menyanyi lagu sedih tetapi muka nampak ceria. Lagu tidak masuk dalam jiwanya. Benarlah kata-kata bahasa jiwa bangsa.

Majoriti rakyat Malaysia tidak faham mandarin Melayu dan India. Jadi kita tulis Cina, sebenarnya kita nak tujukan kepada siapa? Jika nak tuju kepada orang Cina, apakah orang Cina yang tinggal di Malaysia masih tidak faham BM. Jika begitulah keadaannya balik lah.

Bapa kepada ultra kiasu ini pun diam sahaja. Kenapa tidak bercakap menegur anaknya dalam isu ini? Teramat malang apabila isu menjadi tular, menteri berkenaan, masih tidak mengakui kesilapannya, malah mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan tiga bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika beliau membincangkan isu Tun Razak Exchange adalah sesuatu yang dibenarkan.

Jika adapun orang dari negara China yang berada di sini pun, tidakkah mereka perlu bersusah sedikit untuk belajar BM. Sama seperti kita pergi ke China, apakah kita beranggapan bahawa orang Cina di sana akan berbahasa Melayu? Alangkah bodohnya kita.

*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


No comments: