Monday, July 2, 2018

ALASAN ERMIEYATI LEMAH – ANNUAR


Wartawan Watan-Online




Tan Sri Annuar Musa menyelar tindakan bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati yang bertindak keluar parti dengan alasan yang disifatkan sebagai lemah.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata dakwaan Ermieyati kononnya UMNO gagal mengetengahkan “muka baharu” dalam pemilihan kali ini adalah tidak munasabah memandangkan lebih separuh daripada Majlis Tertinggi (MT) kini adalah individu yang baharu.

“Alasan Mas Ermieyati tersangat lemah. Dakwaan kononnya beliau mengharapkan 70% “muka baru” terpilih ke MT adalah tidak munasabah. Itu pun lebih separuh MT yg terpilih adalah muka baru termasuk tiga wanita iaitu Suraya Yaacob, Khadirah Abu Zahar dan Rosnah Rashid Sherlin.

“Ada lain- lain muka baru seperti Alwi Che Ahmad, Zahidi Zainul, Fathul Bari, Lokman Adam, Azian Osman dan beberapa orang lagi.

“Timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan dan tiga naib presiden semuanya muka baharu pada jawatan masing masing..17 dari 32 muka baru bererti lebih dari 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Annuar berkata Ermieyati tidak sepatutnya bersembunyi di sebalik alasan tidak berasas dan berterus terang dengan perkara yang sebenar.

“Lebih baik berterus terang sahaja sebab yang sebenar.

“Tidak perlu menjengkelkan parti yang kita sendiri menerima terlalu banyak nikmat dan penghargaan darinya.

“Ramai yang berjuang lebih lama tetapi tidak mendapat apa yang Mas dapat namun mereka lebih setia,” tegas beliau.


No comments: