Friday, July 27, 2018

ABIM: Beri juga peruntukan kepada sekolah agama persendirian

MALAYSIAKINI

   
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kementerian pendidikan turut menyediakan peruntukan terhadap sekolah swasta lain.

Ia susulan menterinya Dr Maszlee Malik berkata kerajaan akan memberikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

"Kerajaan perlu membuat pertimbangan serius dalam soal peruntukan tahunan dan layanan sama kepada sekolah swasta lain...yang mana banyak sekolah rendah dan menengah - sama ada (berbentuk) agama dan akademik - lebih memerlukan.

"Mengikut data kementerian pendidikan, terdapat 300 sekolah swasta (selain sekolah antarabangsa dan ekspatriat) dan lebih 600 sekolah tahfiz berdaftar yang memerlukan perhatian sewajarnya," kata presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim dalam kenyataan hari ini.

Menurut beberapa akhbar harian Cina semalam, Maszlee berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan kepada SMPC menerusi pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

"Berdasarkan kepada prestasi ekonomi keseluruhan, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memutuskan keperluan dan bentuk peruntukan," katanya seperti dipetik.

Kenyataan itu selepas dua wakil rakyat DAP membidas jawapan Parlimen Maszlee bahawa SMPC tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan dan justeru tidak akan menerima peruntukan kementerian.

Dalam kenyataan itu, ABIM berkata kerajaan harus mengutamakan peruntukan kepada sekolah swasta - termasuk tahfiz dan sekolah agama rakyat - yang mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Antaranya menggunakan kurikulum kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan sukatan pelajaran yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Kami mendesak hanya sekolah yang menepati ciri Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dasar kerajaan sedia ada yang wajar diberi keutamaan untuk pengiktirafan dan peruntukan tahunan.

"Sekolah ini juga banyak menghantar pelajar menyambung pelajaran ke institusi antarabangsa, termasuk dalam jurusan sains dan teknologi," kata Mohd Raimi.


No comments: