SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengisytiharkan penggabungan
secara rasmi Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran
Nilai (MPN) menjadi satu pentadbiran, dikenali sebagai Majlis Bandaraya
Seremban (MBS), pada 21 April depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penggabungan itu
sempena dengan Seremban yang akan dimasyhurkan sebagai bandar raya pada
Januari tahun depan bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.
"Selepas pengisytiharan itu, kami memberikan mereka (MBS) tempoh lapan
bulan dari April untuk menyelesaikan operasi pentadbiran, kakitangan dan
sebagainya.
"Lapan bulan tempoh yang cukup baik bagi mereka untuk membuat
penyelarasan dan yang paling penting sekali ialah bagi mereka
menggabungkan dua majlis (MPN dan MPS) ini menjadi satu (entiti),"
katanya.
Mohamad berkata walaupun Seremban sudah lama diberi kelulusan untuk
berstatus bandar raya, sejak 2013, beliau menangguhkannya kerana
mendapati banyak isu berkaitan dengan masalah dan keperluan rakyat belum
diselesaikan.
"Apa guna kita melonjak-lonjak mengisytiharkan Seremban (sebagai bandar
raya), (jika) longkang pun masih tersumbat. Kena pastikan kemudahan
asas diperbaiki.
"Bila kita sudah rasa selesa, seperti saya katakan tadi segala
keperluan dapat kita penuhkan, masalah rakyat dapat kita selesaikan,
barulah kita boleh (isytiharkan)," katanya.
MBS dijangka beroperasi di sebuah bangunan yang dulunya merupakan pasar raya besar di Rahang.
Unit Kewangan, Teknologi Maklumat (ICT) dan pengurusan akan diletakkan
di bawah satu bumbung, manakala Unit Kejuruteraan dan penguatkuasaan
akan dipecah-pecahkan supaya lebih efektif di kawasan yang dizonkan.
MBS juga akan mempunyai pejabat serantau supaya unit perkhidmatannya
berada di kawasan yang hampir dengan kawasan mereka seperti di Nilai,
Mantin dan Rantau bagi memudahkan gerak kerja.
Pada masa ini, MPN mentadbir daerah Seremban yang terletak di luar
seliaan MPS seperti Nilai, Pajam, Labu, Mantin, Lenggeng, Taman Seremban
Jaya, Sungai Gadut, Pantai dan Rantau.
No comments:
Post a Comment