Tuesday, March 20, 2018

Pembongkaran MSNBC Burukkan Lagi Imej Malaysia


A.Kadir Jasin


NAMA Malaysia menjadi semakin busuk (infamous) di persada dunia dengan pendedahan terbaru oleh stesen televisyen kabel dan satelit Amerika MSNBC.

 

Ia melibatkan perkembangan terbaru siasatan campur tanya Rusia dalam pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika pada tahun 2016 dan peranan Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, sebagai watak penting dalam drama antarabangsa itu.

Walaupun rancangan sepanjang 21 minit itu menceritakan perkembangan lanjut siasatan ke atas campur tangan Rusia, khususnya Presiden Vladimir Putin, bagi memenangkan Trump, namun lebih banyak masa diberikan kepada skandal 1MDB dan “that guy” aka Najib.

Trump dan pasukan kempennya sedang disiasat oleh peguam khas Robert Mueller dari Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) – agensi yang sama yang sedang melakukan siasatan sivil dan jenayah ke atas pengubahan wang haram 1MDB.

Rencana itu bermula dengan sindiran bahawa rakyat Amerika akan mendapat sebuah kapal persiaran mewah berharga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) hasil rampasan kapal milik Jho Low, Equanimity, di Bali pada 28 Februari lalu.

Kata penyampai program itu,Rachel Maddow dalam nada sinis bahawa sebahagian hasil rampasan kapal itu akan menyumbang kepada kekayaan Amerika.

Dia juga menyenaraikan harta-harta lain yang dibeli di Amerika oleh sahabat akrab Jho Low dan anak Najib, Riza Shahriz Aziz, melalui kegiatan pengalihan wang haram (money laundering) yang dicuri daripada 1MDB serta emas permata milik isteri Perdana Menteri, (Datin Paduka Seri Puan Puti Reno) Rosmah Mansor.

Diceritakan juga bagaimana Jho Low berjanji akan memberi komisen AS$75 juta (RM300 juta) kepada sepasang suami isteri yang menjadi pelobi kepada Trump kalau mereka berjaya membatalkan tindakan DoJ ke atasnya.

Yang menariknya ialah beberapa orang yang terlibat dengan konspirasi campur tangan Rusia yang diharapkan oleh Jho Low untuk menolongnya telah ditangkap dan bersetuju untuk menjadi saksi manakala yang lain pula dipenjarakan kerana pelbagai kesalahan.

Rancangan MSNBC itu mempersoalkan bagaimana seorang pemimpin asing yang sedang disiasat oleh DoJ (Najib) boleh dijemput untuk melawat Rumah Putih.

Najib kunjung Trump September lalu dan janji kukuhkan ekonomi Amerika
Dalam kes 1MDB, DoJ tidak menamakan Najib sebaliknya melabelkan beliau MO1 (Pegawai Nombor Satu Malaysia) dan menyifatkannya sebagai orang paling berkuasa dalam 1MDB.

Hakikat bahawa Najib dan MO1 adalah orang yang sama disahkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, (Datuk Seri) Abdul Rahman Dahlan, dalam temu ramah dengan Badan Penyiaran Inggeris (BBC) pada tahun 2016.

Harapan Jho Low menyelamatkan dirinya, MO1 dan Riza daripada tindakan DoJ dengan menggunakan pelobi suami isteri itu adalah tipis.

Tidak seperti di kleptokrasi Malaysia di mana kerajaan boleh menjadikan penjawat awam orang suruhan, di Amerika ketua jabatan adalah bebas daripada campur tangan Presiden kerana mereka bertanggungjawab langsung kepada Kongres (Parlimen Amerika).

Natijahnya kalau DoJ bebas menyiasat Trump, apalah sangat Najib, Jho Low dan Riza.

Dalam manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac lalu, antara janji utama adalah memberi kuasa kepada Parlimen dalam pelantikan pegawai tinggi kerajaan seperti Peguam Negara, Pengerusi SPR, Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pakatan harapan juga menjadikan dasarnya untuk menuntut dan membawa balik pendapatan daripada harta curi 1MDB yang kini disita di Amerika, Singapura, Switzerland dan tempat-tempat lain.

Negara-negara terlibat tentulah tidak akan memulangkan hasil atau harta yang mereka rampas itu kepada kita selagi kleptokrat yang mencurinya masih berkuasa.

Di Amerika mereka guna undang-undang khas yang dipanggil “Kleptocracy Asset Recovery Initiative” atau singkatannya KARI. Dalam bahasa Melayu ia bermaksud inisiatif mendapatkan balik harta yang dicuri oleh kerajaan pencuri.

DoJ telah mendapat kelulusan mahkamah untuk merampas melalui tindakan jenayah dan sivil harta bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dipercayai dibeli dengan duit curi 1MDB.

Dengan pendedahan yang begitu luas dan sensasi oleh media antarabangsa maka tidak hairanlah negara kita menjadi bahan ejekan dan jenaka dunia.

Awal bulan ini majalah terkemuka Inggeris, The Economist telah menyiarkan sebuah rencana bertajuk “Stop, thief! Malaysia’s PM is about to steal an election” atau dalam bahasa Melayu “Tangkap pencuri! Perdana Menteri Malaysia sedang berusaha mencuri pilihan raya”.

Tangkap pencuri, kata The Economist
Maksudnya Najib akan menggunakan taktik kotor untuk menafikan hak pengundi membuat pilihan yang sah dan tulen.

Najib dan geng pemakan dedaknya mungkin tidak malu. Terlalu banyak makan dedak menjadikan muka mereka tabal. Tetapi kita rakyat jelata Malaysia malu dan dukacita negara kita dipersendakan.

Kita sudah jadi bahan jenaka dan gelak ketawa.

Wallahuaklam.

No comments: