Monday, March 26, 2018

MRT perlu 250,000 penumpang sehari untuk balik modal

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa (MRT) memerlukan jangkauan sekurang-kurangnya 250,000 penumpang sehari untuk mencatat pulangan modal, kata timbalan menteri kewangan Datuk Othman Aziz.
 
Bagaimanapun, jelasnya projek MRT merupakan projek jangka panjang dan bukanlah sebuah projek yang boleh memperoleh pulangan pelaburan dan pulangan modal dalam masa yang singkat.
 
“Setakat ini, kita telah pun mencapai antara 130,000 hingga 140,000 penumpang sehari. Kita menjangkakan, apabila projek MRT, projek perumahan dan komersial telah siap sepenuhnya, kita akan dapat mencapai hasrat dan sasaran untuk ‘breakeven’ (mencatat pulangan modal).
 
“Ketika ini, terdapat enam stesen yang belum diguna pakai sepenuhnya iaitu Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kampung Selamat, Sungai Buloh, TRX dan Merdeka 118 kerana projek-projek tersebut masih belum siap sepenuhnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
 
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu punca pendapatan MRT untuk menanggung kos keseluruhan projek pembinaan MRT.
 
Othman turut menjelaskan bahawa kos keseluruhan projek pembinaan MRT laluan 1, 2 dan 3 mencecah sehingga RM100 bilion.
 
Mengenai tujuan pembiayaan projek tersebut, beliau berkata: “Kita telah menggunakan pinjaman sukuk dalam tempoh antara tujuh hingga 30 tahun dengan kadar antara 3.62 peratus hingga 5.51 peratus.” 
 
 

No comments: