PUTRAJAYA: Gerakan sedang memuktamadkan rundingan untuk menukar lima
kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti komponen
MCA, menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata langkah itu perlu
bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti yang lebih
besar.
"Jika kami merasakan bertukar kerusi boleh membantu mana-mana parti
untuk menang, jadi kami akan lakukan. Kami telah berunding. Sesetengah
telah mencapai persetujuan, sebahagian masih lagi belum selesai,"
katanya dalam temu bual bersama Bernama dan New Straits Times semalam di
ibu pejabatnya.
Beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai pembahagian kerusi
berkenaan dan pecahannya tetapi difahamkan kerusi yang terlibat adalah
di Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur.
Mah berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kerjasama
yang dicapai parti itu dengan MCA pada Januari lepas, yang kedua-dua
parti bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menghadapi PRU14.
"Pada 2013, kedua-dua parti, Gerakan dan MCA tidak beroleh banyak
kemenangan. Kami tidak menafikan wujud masalah dan rasa tidak senang
antara satu sama lain ketika itu. Tetapi sekarang, kami harus
menjalinkan kerjasama lebih erat," katanya.
Gerakan akan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN kali
ini berbanding 11 Parlimen dan 31 DUN pada pilihan raya sebelum ini.
Sementara itu, Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan,
walaupun menghadapi cabaran daripada DAP.
"Saya akan terus mempertahankan Teluk Intan. Sekian lama saya di Teluk
Intan sejak saya memulakan karier dalam bidang politik. Jadi saya tidak
mahu bertukar-tukar tempat. Selepas saya kalah, saya tetap bertahan,"
katanya.
Beliau membuat penampilan sulung bertanding di Parlimen Teluk Intan
pada 1999 dan mempertahankan kerusi itu pada 2004 sebelum tewas di
tangan DAP pada 2008 dan 2013.
Pada PRU13, Gerakan hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Simpang
Renggam, Johor dan dua kerusi DUN di Sabah. Bagaimanapun Mah
menyumbangkan satu kerusi Parlimen (Teluk Intan) melalui pilihan raya
kecil pada 2014.
Dalam pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian
penyandangnya, Seah Leong Peng, Mah berjaya merampas semula kerusi DAP
dalam pertarungan yang sengit. Beliau menang dengan majoriti tipis 238
undi.
No comments:
Post a Comment