Oleh Athirah Hanapiah & Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hari ini
memberitahu hanya empat ADUN sahaja daripada parti itu yang mula
menerima peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri.
Sallehen berkata jika sembilan lagi ADUN PAS terus disekat peruntukan
mereka, pihaknya akan memberi masa sehingga esok kepada Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan penjelasan.
Sekiranya Azmin gagal berbuat demikian dan ADUN PAS terus dinafikan hak
mereka, PAS Selangor akan membuat laporan kepada Jabatan Audit negeri
dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua minggu daripada
sekarang.
"Setakat ini yang diberi hanya empat ADUN sahaja, yang lain belum lagi
tetapi kita nak tengok hari ini apakah benar sebagaimana yang dia sebut
ataupun masih ditahan, hari ini kita akan dapat maklumat.
"Empat ADUN tersebut adalah ADUN Paya Jaras (Mohd Khairuddin Othman),
Sri Serdang (Noor Hanim Ismail), Taman Templer (Zaidy Abdul Talib) dan
DUN Dusun Tua (Razaly Hassan.
Minggu lalu, PAS Selangor bertindak mengutus sepucuk surat kepada
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan tekanan
yang di hadapi ADUNnya dalam berkhidmat untuk rakyat.
"Kalau sekiranya (peruntukan) masih belum turun juga kita akan buat
laporan sebab kita tidak tahu pasal apa tidak turun dan kerajaan perlu
memberikan satu alasan atau sebab mengapa ADUN yang lain tidak diberi
walaupun kenyataannya mengatakan bahawa duit sudah turun," katanya
kepada media selepas perasmian pembukaan sidang DUN Selangor bagi
penggal keenam, hari ini.
Sebelum ini Sallehen berkata siasatan jabatan audit dan SPRM itu perlu
untuk mengenal pasti kemungkinan wujud kepincangan urus tadbir dan
kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar.
Bagaimanapun Azmin yang ditemui pemberita memberitahu beliau tidak
menjaga peruntukan wakil rakyat dan meminta ADUN yang terlibat merujuk
kepada pejabat daerah masing-masing.
Sallehen kemudiannya berkata pihaknya sudah mengikut prosedur yang
ditetapkan ketika menghantar tuntutan dan sudah berjumpa pegawai daerah,
namun tetap gagal mendapatkan dana tersebut.
"Tetapi bila kita berhubung dengan pejabat daerah, pejabat daerah masih belum boleh memberikan lampu hijau lagi.
"Saya pun tidak pasti mengapa hanya empat ADUN sahaja," ujarnya lagi.
Difahamkan pembekuan peruntukan RM800,000 kepada setiap ADUN Selangor
itu hanya membabitkan wakil rakyat PAS dan didakwa untuk mencantas
khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Azmin sebelum ini kerap-kali berdolak-dalik berhubung tindakannya yang
menyekat dana terhadap kesemua wakil rakyat PAS di negeri itu.
Malah baru-baru ini, beliau juga turut mempersoal tindakan PAS yang
mengadu kepada Allah dan Sultan pada Program Munajat dan Ceramah Pas
Selangor dan tidak mengadu kepadanya.
No comments:
Post a Comment