MUKADIMAH
20 tawaran awal Gagasan Sejahtera (GAGASAN) untuk PRU ke-14
sebagaimana temanya "Malaysia Sejahtera" benar-benar bermatlamat
memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai
peringkat khususnya golongan rakyat marhaen.
Ia merangkumi 7 segmen utama iaitu agama, politik dan pentadbiran,
ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Ia merangkumi
keperluan asas kehidupan iaitu pendapatan, makan minum, pemilikan
kediaman dan kenderaan, keperluan asas pendidikan, keselamatan dan
kesihatan.
Tawaran Memperkasakan Islam
1. Dari sudut kepentingan Islam, GAGASAN memberikan komitmen untuk
memperkukuhkan Islam dalam perlembagaan selaras dengan kefahaman Islam
sebagai ad-Din yang merangkumi pelbagai aspek hidup.
Justeru, peruntukan "Islam Agama Persekutuan" sewajarnya ditakrifkan
dengan maksud Islam sebagai ad-Din. Dengan itu Islam
akan menjadi tonggak dan rujukan dalam penggubalan dasar, polisi dan
undang-undang negara dalam aspek bernegara.
Tawaran Tadbir Urus Rabbani
2. Dalam aspek Tadbir Urus, GAGASAN menawarkan Tadbir Urus Rabbani (Tadbir Urus Ketuhanan) yang meletakkan aspek agama iaitu "ubudiyah"
atau perhambaan diri ahli politik dan pentadbiran kepada Tuhan sebagai
asas pemangkin dan motivasi bagi melahirkan kebertanggungjawaban,
ketelusan dan kecekapan.
Ia adalah aplikasi model pentadbiran kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS berasaskan prinsip UMI iaitu Ubudiyyah (pengabdian diri kepada Tuhan), Mas'uliyyah (kebertanggungjawaban kepada Tuhan) dan Itqan
(kecekapan) sehingga diiktiraf oleh SPRM sebagai kerajaan yang bebas
rasuah dan diberikan penarafan markah 99 peratus Prestasi Pengurusan
Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri
Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Jabatan Audit Negara.
Tawaran Ekonomi dan Kewangan
3. Dalam memastikan kualiti hidup dapat dikecapi, pendapatan rakyat
mesti diselamatkan daripada percukaian yang menindas golongan miskin dan
menyebabkan berlakunya inflasi melampau seperti GST. Justeru, GST mesti
dihapuskan. Sebagai alternatifnya, akan diperkenalkan cukai yang adil
terhadap lebihan pemilikan harta golongan kaya seperti cukai ke atas
simpanan korporat dan cukai pegangan saham di Bursa Malaysia bagi
menambah pendapatan negara.
4. Ke arah peningkatan ekonomi mikro khususnya bagi menambah nilai
pendapatan isi rumah, tawaran bantuan sekali (one-off) sebanyak RM2,000
sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah*
bakal memberi kesan besar pada rakyat. Ia sekali gus suatu usaha ke arah
memantapkan institusi kekeluargaan apabila si ibu mampu meraih
pendapatan dari rumah tanpa perlu keluar dan merisikokan tanggungjawab
kepada keluarga khususnya anak-anak.
5. Untuk memastikan golongan fakir dan miskin dapat menikmati asas keperluan makanan harian, GAGASAN menawarkan program It’aam Kebangsaan" (It'aam
bermaksud memberi makan)* untuk memberikan bantuan makanan asasi kepada
golongan ini secara bulanan. Di saat keperluan rakyat marhaen dapat
diberikan jaminan, kesejahteraan akan melebar dalam masyarakat.
6. Dasar pembangunan sedia ada telah gagal memberikan kesejahteraan
yang adil kepada rakyat marhaen khususnya. Justeru GAGASAN akan
mempertimbangkan semula *pelaksanaan dasar pembangunan agar ia berupaya
menangani kemiskinan* dan menyusun semula ketidak seimbangan ekonomi
dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tawaran Hak Berkediaman
7. Seterusnya untuk memastikan rakyat menikmati keperluan asas
kehidupan melibatkan hak berkediaman dan berkenderaan maka ditawarkan
kediaman mampu milik antara 50k hingga 180k. Kediaman pada harga ini
pasti mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan serendah RM1,500
sekalipun, apatah lagi jika ditawarkan pula nanti pembiayaan berasaskan
konsep Qardun Hasan atau pinjaman tanpa faedah sebagaimana tawaran manifesto PAS Terengganu.
8. Malah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi
pembukaan rancangan tanah baru sebagaimana tawaran GAGASAN adalah satu
usaha untuk menyediakan penempatan rakyat dengan harga mampu milik di
samping ia bakal membuka peluang-peluang pekerjaan baru. Ia selaras
dengan cadangan oleh Bank Negara Malaysia agar kerjasama antara Negeri
dan Persekutuan diwujudkan untuk pemberian tanah awam kepada rakyat bagi
menangani peningkatan kos kediaman yang semakin tidak mampu milik
kerana antara punca kenaikan kos kediaman ialah kos tanah.
9. Malah tawaran GAGASAN untuk penempatan baru mampu milik untuk
generasi kedua dan ketiga FELDA adalah satu lagi usaha ke arah pemilikan
kediaman mampu milik.
Tawaran Hak Berkenderaan
10. Untuk memberi hak kepada rakyat marhaen memiliki kereta kali
pertama, ditawarkan peluang memiliki kenderaan di bawah 1.3 cc dengan
pengecualian duti eksais dan pembiayaan berasaskan Qardun Hasan
iaitu pembiayaan tanpa faedah. Pengecualian duti eksais akan
menyelamatkan pendapatan rakyat sehingga hampir 15k jika kenderaan itu
berharga sekitar 40k. Bayaran ansuran bulanan akan menjadi kecil dan
menambah nilai pendapatan bulanan boleh guna rakyat. Ia adalah hadiah
untuk anak-anak muda yang baru sahaja memulakan kehidupan.
11. Untuk mengurangkan lagi kos hidup melibatkan kenderaan, kadar
bayaran tol yang menghakis sebahagian pendapatan rakyat juga akan
distruktur kembali menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol
melebihi 15 tahun. Pengurangan atau penghapusan tol bakal merancakkan
lagi penggunaan lebuhraya oleh rakyat marhaen dan meningkatkan lagi
aktiviti ekonomi menerusi penjimatan kos dan masa di samping menambah
lagi nilai pendapatan boleh guna rakyat.
Tawaran Pendidikan
12. Dari sudut pendidikan pula, kos pendidikan dikurangkan menerusi
tawaran bas sekolah percuma. Ia adalah hadiah besar khususnya bagi
rakyat marhaen.
13. Bebanan hutang kerana pendidikan dikurangkan menerusi tawaran
pelupusan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk
meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah
memberikan pendidikan percuma.
14. Bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan
miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar, GAGASAN menawarkan
untuk mengembalikan sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam
(IPTA).
15. Begitu juga ke arah memperkasakan golongan miskin bandar dan luar
bandar, GAGASAN akan mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama
Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
16. Pendidikan juga sewajarnya digerakkan menerusi penggunaan bahasa
rasmi yang menjadi pengantara seluruh rakyat Malaysia. Justeru, tawaran
GAGASAN ialah menjadikan *Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi
semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.
Tawaran Kesihatan dan Keselamatan
17. Kesihatan adalah nikmat besar bagi rakyat. Ia berkait rapat
dengan bilangan doktor pakar dan hospital pakar yang cukup bagi memenuhi
keperluan rakyat sebagaimana nisbah yang disyorkan oleh PBB. Justeru,
ia menjadi satu tawaran menggambarkan keprihatinan GAGASAN terhadap
keperluan ini.
18. Keselamatan rakyat bergantung antaranya pada bilangan anggota
keselamatan yang seimbang dengan peningkatan populasi rakyat setempat.
Justeru, ia menjadi satu tawaran penting GAGASAN bagi mengurangkan kadar
jenayah seterusnya meningkatkan lagi tahap keselamatan sosial.
Penutup
Saya sangat yakin 20 tawaran awal ini adalah antara yang terbaik ke
arah melahirkan Malaysia baru yang lebih sejahtera. Saya menyeru seluruh
rakyat Malaysia memberi peluang kepada GAGASAN yang diterajui oleh PAS
bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Nantikan tawaran manifesto seterusnya insya Allah.
Membina Malaysia Sejahtera
Sejahtera Bersama Islam
*Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-TakiriAhli Parlimen Kuala Nerus
No comments:
Post a Comment