Monday, March 5, 2018

Majlis PIBG, kesatuan guru tolak PPSMI, kumpulan ibu bapa sokong

 
Presiden PIBGN berkata isu kemahiran bahasa dan kemahiran mata pelajaran Matematik dan Sains adalah berbeza dan tidak perlu dicampuradukkan.


PPSMI
Gambar Blogspot


PETALING JAYA: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak bersetuju dengan cadangan memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presiden PIBGN Datuk Mohamad Ali Hasan berkata isu mengenai kemahiran bahasa dan kemahiran mata pelajaran Matematik dan Sains adalah berbeza dan tidak perlu dicampuradukkan.

“Kalau kita lemah dalam Bahasa Inggeris, sepatutnya kita beri penekanan atau pemulihan dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau mengingatkan PPSMI sukar dilaksanakan dan di peringkat awal terbukti tidak berjaya.

“Jadi kita lihat negara-negara maju pun tak mencampuradukkan. Dia kalau lemah Bahasa Inggeris, Bahasa Inggeris diperkukuhkan, dimantapkan…bukan disuntik Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains. Saya rasa yang penting ialah perkukuhkan Bahasa Inggeris dahulu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang menyatakan PPSMI mungkin akan dilaksanakan jika PH menang PRU14.

Dr M tak mahu dengar

Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak pula mengingatkan masalah sebenar ialah murid-murid lemah Bahasa Inggeris dan bukan mata pelajaran Matematik dan Sains.

Beliau berkata langkah yang patut diambil ialah memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Kamarozaman berkata PPSMI berkait dengan bahasa dan sangat berisiko kepada murid-murid seperti yang boleh dilihat sebelum ini.

“Daripada zaman Tun Mahathir sendiri pun mengalami banyak kegagalan. Dulu sangat gagal.  Apabila dia nak kembalikan semula, berisiko kepada generasi kita. Sepatutnya dia tak mencari satu idea yang dah memang gagal,” katanya.

“Sepatutnya kita tambah baik Bahasa Inggeris. Lagipun kajian menunjukkan kalau nak belajar Sains dan Matematik lebih berkesan mesti menggunakan bahasa ibunda. Cuma apabila di peringkat Bahasa Inggeris itu mantap, di universiti tak ada masalah dah.

“Sekarang masalah kita di peringkat akar umbi: murid-murid lemah Bahasa Inggeris, bukan mata pelajaran Matematik dan Sains. Salah faham masa Tun Mahathir itu memang kita amat kecewa sebab itu kita banyak bantahan,” katanya.

Beliau menggesa cadangan melaksanakan semula PPSMi dikaji semula kerana kajian sebelum ini mendapati murid-murid terutama di luar bandar lebih cepat memahami Matematik dan Sains yang diajarkan dalam bahasa ibunda.

“Sebab itu ramai gagal peperiksaan pada masa itu bila dia gunakan Bahasa Inggeris. Tapi dia pada masa itu sebagai perdana menteri tak mahu dengar benda itu. Dia kata kita teruskan. Jadi mangsanya murid-murid luar bandar, murid-murid Melayu,” katanya.

Kamarozaman menambah memperkenalkan semula PPSMI memerlukan para guru dilatih semula bagi tujuan itu.

“Guru Sains dan Matematik yang berkemahiran dalam Bahasa Inggeris tiada dan terpaksa dilatih. Guru Bahasa Inggeris pun tak cukup sekarang di luar bandar. Jadi macam mana anda nak perkenalkan PPSMI semula?” soalnya.

Bahasa Inggeris untuk negara

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) bagaimanapun berbeza pendapat dan bersetuju dengan cadangan mengembalikan PPSMI.

Presiden PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains perlu dilakukan Bahasa Inggeris kerana negara menuju ke peringkat teknologi digital dan bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris.

“Kalau kita nak ke bidang inovasi, mencipta teknologi baru, kewangan dalam bahasa Inggeris. Adalah baik kita mula di sekolah.

“Kita kena berfikir secara global. Kita tak boleh hidup dengan bahasa Malaysia sahaja. Sekarang bukan sahaja Bahasa Inggeris penting tapi Bahasa Mandarin pun sama penting,” katanya.

Bagaimanapun, Azimah juga berpendapat guru-guru masih belum bersedia untuk PPSMI diperkenalkan semula dan perlu dilatih.

“Tapi saya rasa guru sekarang lebih berkeyakinan berbanding guru masa dahulu kerana guru sekarang adalah produk PPSMI. Maknanya ada yang mempelajari PPSMI di Tahun 1 dan Tingkatan 1,” katanya.

PPSMI diperkenalkan pada Julai 2002 selepas diluluskan mesyuarat khas jemaah menteri yang diketuai Dr Mahathir.

Dasar itu diperkenalkan secara berperingkat mulai Tahun 1 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah di sekolah menengah.

Pada Julai 2009, timbalan perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan PPSMI dan mata pelajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa ibunda di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan mulai 2012.

No comments: