Monday, March 5, 2018
Hadi tempelak cadangan PH kembalikan PPSMI jika menang PRU14
PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menempelak cadangan Pakatan Harapan (PH) yang mungkin akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presiden PAS itu berkata ini kerana pembelajaran dalam bangsa asing bukan sahaja mengambil masa yang lama tetapi gagal.
Beliau menggesa pembelajaran dalam bahasa ibunda dikekalkan, lalu memberikan contoh negara besar dunia yang tegas menggunakan bahasa ibunda mereka.
“Jepun dengan bahasa Jepun, Jerman dengan bahasa Jerman, China dengan bahasa Cina. Kita dapati Jepun dengan Jerman yang kalah dalam perang dunia kedua dengan dahsyat boleh pulih dengan memperkasakan rakyat melalui pelajaran dalam bahasa mereka sendiri.
“China begitu juga dan menjadi kuasa besar hari ini,” katanya.
Beliau tidak bersetuju hujah mengatakan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris satu-satunya faktor kemajuan.
“India guna Bahasa Inggeris daripada presiden sampai ke peminta sedekah tetapi pencapaian kemajuan dia tak boleh menghambat kemajuan China, Jepun dan Jerman,” katanya menerusi video yang disiarkan menerusi Facebook rasminya hari ini.
Hadi mengulas kenyataan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang menyatakan PPSMI mungkin dilaksanakan kembali jika PH memenangi PRU14.
Presiden parti Islamis itu mengingatkan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka juga mempunyai sejarah tersendiri. Dengan latar belakang itu, bahasa kebangsaan dikembangkan mulai 1960-an melalui Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti-universiti tempatan.
“Tiba-tiba kita undur ke belakang melalui Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau kemudian menceritakan pertemuannya dengan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang berkata pemerkasaan bahasa ibunda mempunyai kelebihan tersendiri.
“Ada penulisan dia mengatakan Singapura gagal memperkasakan rakyatnya melalui budaya Barat,” katanya.
“Bila rakan saya cakap Bahasa Inggeris, dia cakap Bahasa Melayu. Lee Kuan Yew kata awak bercakap Bahasa Inggeris awak kena berfikir dahulu kan tapi bila cakap Bahasa Melayu tak payah fikir banyak. Dia tempelak dalam majlis itu,” katanya.
Menurut Hadi, contoh Lee itu menunjukkan tokoh-tokoh besar sepertinya menyedari peranan bahasa ibunda dan budaya dalam pendidikan rakyat terbanyak.
“Kecuali tokoh politik yang gagal. Dia gagal sahaja nak balik ke zaman penjajahan. Ibnu Khaldun mengatakan di antara bangsa yang hina ialah bangsa yang terpengaruh dengan penjajah yang menjajah mereka, dipengaruhi dengan bahasanya, budayanya, dan sehingga meninggalkan agamanya,” tegasnya.
Ibnu Khaldun seorang sejarawan Arab (27 May 1332 – 17 March 1406) yang dianggap pelopor displin sejarah, sosiologi, ekonomi dan demografi moden
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment