KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang terpaksa membatalkan semua
programnya hujung minggu ini, ekoran mengalami kecederaan di dahi
selepas tergelincir di dalam tandas di rumahnya di Gelang Patah, Johor,
semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat DAP, hari ini, pemimpin
veteran pembangkang itu sudah menerima rawatan lanjut di sebuah klinik
berhampiran dan doktor yang merawat menasihati beliau supaya berehat.
"Semua acara yang sudah dijadualkan pada hujung minggu ini, termasuk
forum di kedai kopi di Gelang Patah pagi tadi dan satu lagi di Pekan
Nenas pada pagi esok (Sabtu) terpaksa dibatalkan.
"Beliau juga tidak dapat menghadiri majlis ulang tahun ke-4 sempena
memperingati tragedi MH380 pada petang esok di Kuala Lumpur.
"Selain itu, beliau tidak dapat menghadiri majlis makan malam bagi
mengutip dana PKR di Setia Alam pada Ahad malam dan tarikh baru juga
akan ditetapkan bagi Kit Siang membuat lawatan ke Sungai Pelek dan
Sepang," kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, pada Disember tahun lalu, Kit Siang disahkan menghidap
kanser tahap pertama dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang 30
peratus bahagian buah pinggangnya.
Selepas berehat hampir sebulan, beliau membuat penampilan semula pada awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment