Friday, March 2, 2018

Penerjun wanita negara digantung 8 bulan kerana doping




Wendy-Ng-Yan-Yee
Gambar Youtube


KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee dikenakan penggantungan 8 bulan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) kerana kesalahan doping.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, berkata penggantungan terhadap penerjun kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu berkuat kuasa 26 Ogos 2017, iaitu tarikh sampel B diambil dan hukuman itu akan berakhir 26 April 2018.

“Saya menerima e-mel daripada FINA malam tadi, memaklumkan penggantungan Wendy selama 8 bulan berikutan kes dopingnya, maka dia tidak disenaraikan untuk Sukan Komanwel 2018,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Chen memberitahu Ng akan kembali menjalani latihan bersama skuad terjun kebangsaan pada 15 April untuk persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September nanti.

Dalam perkembangan lain, Chen berkata, skuad negara dijadual berlepas ke Gold Coast, Australia pada 26 Mac ini untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang pertandingan.

“Sebelum ini saya dimaklumkan upacara menaikkan bendera akan berlangsung pagi 26 Mac, sebelum skuad negara berlepas ke Gold Coast pada sebelah malam,” katanya.

Pada Oktober 2017, Ng disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi, turut positif.

Penerjun terbabit didapati melakukan kesalahan itu semasa beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas, dan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam proses mendapatkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3m papan anjal individu wanita.

No comments: