Saturday, March 3, 2018

FELDA kini ada pegawai SPRM, kata Shahrir

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: FELDA akan menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Unit Integriti agensi itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
 
Beliau berkata, ahli lembaga pengarah sudah meluluskan cadangan itu dan kini hanya menunggu maklum balas SPRM bagi menentukan tarikh penempatan pegawainya di unit berkenaan.
 
Selain memeriksa dan memantau, katanya, pegawai itu akan memberi pendidikan, latihan serta nasihat kepada kakitangan FELDA dalam pelbagai perkara berkaitan rasuah dan integriti.
 
"Mereka juga akan menjadi rujukan bagi sebarang maklumat berkaitan rasuah dan integriti," katanya sambil menjelaskan FELDA turut membayar gaji pegawai terbabit.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina 2018 Bersama Ahli Parlimen Johor Bahru dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di Taman Suria di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, langkah pihaknya meletakkan pegawai SPRM di agensi itu bagaimanapun bukan bermakna ada banyak kes rasuah dalam FELDA, sebaliknya bagi meningkatkan persepsi positif masyarakat.
 
FELDA sebelum ini banyak terpalit dengan gejala rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi dalam badan bukan kerajaan itu.
 
Terbaru, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tiga lot tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
 
FELDA juga turut disiasat dalam pembelian hotel di Kuching disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran. 


No comments: