Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Perbincangan Pakatan Harapan (PH) untuk memutuskan satu logo
tunggal yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal
mencetuskan satu lagi pertelagahan baru dalam gagasan itu.
Penganalisis
politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff turut menyifatkan, ia bakal menjadi
salah satu keputusan sulit untuk diputuskan, selepas rundingan agihan
kerusi DUN yang berpanjangan beberapa kali ditangguhkan.
"Jadi apa yang akan kita lihat adalah pertelagahan yang berterusan.
Masing-masing akan cuba tunjuk kuat bagi memastikan logo masing-masing
akan ditonjolkan sebagai logo bersama PH," katanya ketika dihubungi
Antarapos hari ini.
Ujarnya, kemungkinan besar logo parti komponen gagasan pembangkang yang
akan digunakan sebagai 'tiket' bertanding adalah sama ada parti PPBM
atau PKR.
"PPBM adalah sebab pertamanya calon perdana menteri PH itu sendiri
adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebabnya PPBM merasakan penggunaan logo
mereka akan lebih meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokong PH
berbanding dengan logo parti lain," katanya lagi.
Namun katanya, parti bunga itu sedang dibelit masalah dengan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status mesyuarat tahunan (AGM),
selain memutuskan tidak bertanding di Sabah dan Sarawak.
Justeru katanya, penggunaan logo PPBM bakal menimbulkan tentangan khusus dari kedua negeri itu.
"Kelebihan PKR, adalah bahawa logo itu juga digunakan di Sabah Sarawak.
Selain itu pemimpin PKR juga boleh menghujah bahawa mereka akan
letakkan calon yang paling banyak di seluruh Malaysia bagi kawasan
Parlimen. Mereka berasakan bahawa sudah tentu logo paling sesuai
digunakan," jelas beliau.
Apatah lagi menurutnya, PKR pula sudah wujud lebih lama dan lebih 'tua' berbanding PPBM dan Amanah.
Sementara itu, Kamarul Zaman turut berkata, penggunaan logo DAP pula
berkemungkinan besar ditolak ekoran masih 'dihinggapi' sentimen bahawa
ia didominasi oleh kaum Cina.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan peluang parti serpihan PAS, Amanah
jika dilihat berdasarkan rekod prestasi mereka masih tidak cukup kuat
untuk menarik sokongan pengundi secara keseluruhannya pada PRU14 nanti.
"Selain logo baru yang tidak begitu dikenali, dia (Amanah) juga tidak
mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil
PRK Kuala Kangsar dan Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016," jelasnya.
Baru-baru ini, PH memutuskan empat parti sekutu dalam gabungan itu akan
bertanding menggunakan satu logo atau simbol pada PRU14 yang boleh
diadakan pada bila-bila masa.
Keputusan itu akan menyaksikan calon PKR, DAP, PPBM dan Amanah
menggunakan logo atau simbol salah satu daripada empat parti itu.
No comments:
Post a Comment