Saturday, March 3, 2018

Isu murtad: Sarawak akan pinda enakmen syariah

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
KUCHING: Pindaan terhadap enakmen syariah Sarawak akan dilaksanakan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam menyelesaikan isu berkaitan individu keluar Islam.
 
Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg memaklumkan ia mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana kekangan perundangan sedia ada.
 
"Sebenarnya, saya sudah berurusan dengan perkara berkenaan dan perlu ada SOP untuk prosedur tertentu. Anda tidak mampu membiarkan perkara (keluar) Islam tergantung.
 
"Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan (berkaitan pengesahan keluar daripada agama Islam) adalah masalah pentaksiran mahkamah mana mempunyai kuasa.
 
"Jika pentaksiran jatuh kepada syariah (mahkamah), syariah perlu menyediakan laluan kepada mereka yang terbabit agar tidak terus terikat dengan isu berkenaan, ada kelompongan dalam ordinan (syariah)," katanya dipetik BH Online.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan St. Joseph's International School, di Jalan Tan Sri Datuk William Tan, di sini, hari ini.
 
Pada 27 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan Kuching menolak rayuan pendengaran kes membabitkan empat individu dari Sarawak yang diisytiharkan keluar Islam oleh mahkamah sivil sebelum ini.
 
Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan, selain memaklumkan kes berkenaan berada dalam bidang kuasa Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) untuk ia dikendalikan di mahkamah syariah.
 
Permohonan dibuat Syarifah Nooraffyza Wan Hosen, Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah Abdullah, Mohd Syafiq Abdullah @ Tiong Choo Ting dan Salina Jau Abdullah

No comments: