DETIK DAILY
KEPADA rakan karibnya, ZIN MAHMUD, yang juga bekas Pengarang Kumpulan
Harakah dan pernah mengetuai akhbar Mingguan Malaysia, Ahmad Lutfi
Othman sempat menjelaskan banyak persoalan berkaitan dirinya, termasuk
pengalaman menempuh pelbagai penyakit yang telah membataskan aktiviti
penulisannya, tetapi dalam masa sama, ia boleh dianggap satu tempoh yang
amat bermakna. Ikuti juga pandangan Lutfi mengenai tahap-tahap dalam
perjalanan hidup, yang baginya semuanya indah dan menyeronokkan.
Bagaimana keadaan saudara Lutfi sekarang? Mengenai kesihatan saudara dan apa yang saudara sedang lakukan?
Alhamdulillah, syukur setingginya ke hadrat Allah SWT. Keadaan kesihatan
saya makin bertambah baik. Cuma, masa agak terbatas disebabkan tiga
kali seminggu jalani hemodialisis yang pusat rawatannya agak jauh dari
rumah. Mungkin kerana masih baru, saya kerap tidak stabil, letih-lesu
selepas rawatan. Penglihatan semakin pulih. Boleh membaca, tapi agak
memenatkan mata bila lama menatap buku. Dah lama saya tidak membaca
akhbar cetak. Lebih suka dan selesa mendengar daripada membaca atau
menonton.
Sekarang, masa agak lumayan untuk aktiviti membaca. Banyak buku yang
dibeli sejak 2 tahun ini, iaitu tempoh saya uzur, belum dibuka
balutannya. Buku-buku lama yang baik juga perlu ditelaah berulang kali.
Tapi saya kira kesempatan lebih wajar dimanfaatkan untuk bersama
keluarga, berfikir, merenung dan membaca alam sekeliling. Menjadi puas
mendengar kicauan dan siulan burung di sebatang pohon besar depan rumah
saya. Saya beroleh masa lapang untuk menghayati alunan muzik, misalnya
baru saya perasan, banyak lagu M Nasir sarat dengan pesan ketuhanan.
Terima kasih kepada abang saya, Dinsman, yang baru-baru ini
menghadiahkan novel-novel Pak Samad Said, misalnya Keledang, Cinta
Fansuri dan Langit Petang. Karya Pak Samad untuk dinikmati secara santai
dan sabar, tidak boleh terburu-buru. Situasi saya sekarang sesuai
sangat, tak ada benda yang dikalutkan lagi (ketawa).
Boleh ceritakan latar belakang kesihatan saudara dan pengalaman dalam mengatasinya?
Penyakit ini ujian dan nikmat yang membawa pesan dan iktibar. Ya, bagi
yang mengenali saya, sejak kecil saya dilihat selalu sakit. Begitu juga
semasa di sekolah menengah dan universiti hinggakan sebahagian
peperiksaan akhir di tahun lima UTM saya tak hadir sebab sakit. Mula
dikesan diabetes pada tahun pertama perkahwinan, masa berumur 28 tahun.
Kelemahan ketara saya, sukar disiplinkan diri untuk jaga makan, bersenam
dan disiplin ambil ubat seperti nasihat doktor. Sejak sekolah saya
kurang sekali bersukan.
Kencing manis umpama pintu segala penyakit apatah lagi jika ada faktor
genetik. Tapi ramai yang pandang remeh, jarang merujuknya kepada doktor
pakar, makan ubat saja, sedangkan ia penyakit kritikal yang berbahaya
dan mesti dapat nasihat pakar. Kesan kepada saya, ia merebak ke jantung
dan mata. Saya juga pernah alami stroke kecil sewaktu pembedahan
pintasan jantung. Selepas itu, tekanan darah tidak stabil. Akhirnya,
masalah kegagalan fungsi ginjal.Dalam satu tempoh yang agak panjang
juga, ketika produktiviti saya boleh dikira berada di puncak, sekitar
2001, selama dua tahun, saya terlantar di katil. Hampir tak mampu
berbuat apa-apa. Keluarga mencari rawatan di merata tempat. Hampir
setiap minggu saya dirawat Dr Haron Din, kemudian dengan Almarhum Ustaz
Ismail Mahmud, adik Asy-Syahid Ibrahim Libya. Kawan-kawan kata saya kena
penyakit misteri, tak tahulah. Alhamdulillah, akhirnya tiba-tiba
sembuh.
Dalam tempoh itu, saya keluar-masuk wad dan bilik bedah, naik-turun
hospital, sempat jumpa ramai pesakit dengan segala ragamnya, apabila
terpaksa menunggu lama, termasuk di “pusat rawatan Islam”. Dengar suara
hati mereka. Seperti saya, ramai yang mengabaikan penjagaan kesihatan.
Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati, jarang dipraktikkan.
Lagi satu, kemudahan kesihatan untuk rakyat perlu diperbaiki dan
ditingkatkan. Kementerian Kesihatan patut diterajui menteri kanan. Ramai
orang takut ditimpa penyakit kerana tidak mampu untuk merawat.
Kesedaraan awam tentang amalan cara hidup sihat perlu diperluaskan.
Atasi kejahilan dan kemalasan mereka.
Saya terkejut apabila amalan sihir dan seumpamanya masih berleluasa, termasuk di kota-kota besar.
Hanya kerana perselisihan faham yang kecil, tidak terkecuali melibatkan
saudara-mara terdekat, seseorang itu sanggup mencari bomoh untuk
melepaskan kesumat. Insya-Allah, jika mengizinkan, saya berhasrat untuk
menulis buku tentang kesihatan, berdasarkan pengalaman panjang saya
sendiri. Sahabat saya, Sayuti Omar juga berkira-kira menulis hal sama,
perjuangannya melawan kanser.
Semasa uzur, saya cukup dekat dengan kitab Perjalanan Rabbani, karya
guru saya di UTM, Dr Musa Fathullah Harun dan Ziarah ke Alam Kematian
oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti. Saya turut berulang kali membaca memoir
Tuesday with Morrie, Mitch Albom dan tertarik dengan The Last Lecture
oleh Randy Pausch. Kedua-duanya cerita tentang meniti saat-saat akhir
kehidupan. Rakan saya, Azam Shairi memperkenalkan buku tulisan bekas
Presiden Indonesia, BJ Habibie, tentang kematian isterinya, bertajuk
Habibie & Ainun.
Setelah begitu lama menghadapi keadaan kesihatan sebegini, apakah
pelajaran yang saudara peroleh mengenai kehidupan dan nasihat untuk para
pembaca?
Selain jaga makan-minum, harus belajar untuk tenangkan diri, jangan
panik dengan tekanan dan masalah, hiduplah secara sederhana. Berpadalah
dengan apa yang ada. Saya masih ingat, Prof Jomo
Sesuaikan diri dengan takdir yang ditentukan ke atas kita. Bersyukur dan reda atas ketentuan Ilahi.
Belajar untuk bersabar, ikhlas dan reda. Nanti kita akan beroleh
ketenangan walaupun hiruk-pikuk di sekeliling kita. Kadang-kadang
penyakit datang secara mengejut, seperti juga kematian. Ada yang cukup
jaga diri, amalkan diet, rajin bersenam, tiba-tiba dapat tahu, misalnya
ada kanser atau ditimpa kemalangan yang mengakibatkan lumpuh atau
kecacatan kekal. Tidak semua dapat terima dengan reda, ramai yang terus
murung dan tertekan. Keluarga dan kawan-kawan rapat harus sentiasa dekat
membantu. Selalu dan keraplah ziarah. Kadang-kadang kita mengunjungi
orang sakit sekali dua sahaja, kata orang, untuk cukup syarat sebagai
kawan. Dampingilah selalu mereka, carilah masa untuk mereka, jangan
tunggu masa lapang.
KS pernah bertanya saya, jaga tak makan Lutfi? Saya jawab, jaga
sikit-sikit, Prof. Pantas dia mencelah, tak jagalah tu, mana boleh jaga
sikit-sikit. Jadi, saya pun nak ingatkan, jaga sungguh-sungguh
makan-minum tu, pastikan betul-betul apa yang nak masuk dalam mulut kita
(ketawa).
Saya temui ada pesakit yang cukup positif dan optimis dengan ujian getir
ini. Dalam kesakitan, wajah dan bicara mereka tetap ceria. Saya
kadang-kadang jadi malu, tidak berupaya teladani sikap mereka. Ya,
belajarlah untuk sabar, ikhlas dan reda. Terima ketentuan nasib kita.
Selain itu, saya bersyukur kerana bertemu ramai doktor pakar yang
bagus-bagus, sentiasa ambil berat dan prihatin, begitu memudahkan.
Antara lain, Prof Dr Zamrin Dimon yang mengetuai pasukan pembedahan
jantung saya bersama Prof Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman; Prof Zamrin
nampak sentiasa tenang dan menyenangkan. Berkaitan buah pinggang, Prof
Dr Abdul Halim Abdul Gafor dan pakar mata, Dr Wong Hon Seng; mereka
berdua merawat dan melayan kerenah saya dengan sabar dan tekun. Juga
kepada sekumpulan jururawat, terutama di HUKM dan pusat dialisis MAIS di
Taman Melawati, Hulu Kelang, yang banyak membantu.
Dalam kehidupan, apakah saudara sifatkan diri saudara? Sama ada sebagai wartawan, penulis, penerbit, pengusaha atau pejuang?
Saya berbuat apa yang yang mampu berdasarkan minat, bakat dan pegangan
hidup sebagai Muslim. Kewartawanan banyak membantu penulisan saya agar
pentingkan fakta, data, kebenaran. Saya terpaksa jadi penerbit sekali
gus pengusaha kerana di peringkat awal tiada penerbit, malah pencetak,
yang mahu menguruskan buku dan bahan terbitan saya. Menjadi syarat KDN,
nama pencetak dan alamat penuhnya wajib disertakan dalam buku, majalah
atau akhbar, dan ini menakutkan pencetak.
Secara peribadi, saya lebih seronok untuk menulis dan menulis, tak mahu
ambil tahu hal-hal bisnes, yang selalu memeningkan kepada itu (ketawa).
Saya ahli perniagaan yang gagal. Tak pandai uruskan syarikat. Pejuang?
Terlalu kerdil untuk istilah itu, tapi saya mahu mempengaruhi agar
tulisan dan buah fikiran saya tidak kekal di atas helaian kertas saja.
Saya mahu idealisme itu dapat dilaksanakan.
Boleh ceritakan jalan kehidupan saudara dalam perjuangan dan penulisan daripada universiti hinggalah ke hari ini?
Minat saya dengan politik Islam bermula sejak kecil, dari sekolah
rendah. Masalah gagap kuat mendorong saya untuk meluahkan melalui
tulisan. Selain masalah gagap, perjalanan saya juga terhad kerana selalu
muntah-muntah bila naik kenderaan. Orang kata mabuk darat.
Kadang-kadang naik saja kereta, terus muntah.
Di kampus UTM, Jalan Gurney, saya dekat dan cocok dengan rakan-rakan
yang sealiran. Kami menyokong perjuangan PAS. Mewakili jemaah, saya
dipilih masuk pilihan raya kampus dan menang mudah. Universiti waktu itu
agak malap kegiatannya. Saya buat kerja, kebanyakannya secara solo.
Semangat kerja berpasukan memang penting tetapi saya tidak suka berharap
kepada orang. Saya tahu, ini bukan ciri pemimpin yang baik dan
berkesan.
Saya sudah ceritakan (dalam wawancara dengan Lim Hong Siang) pengalaman
menjadi penulis, penerbit, wartawan, editor.Sekarang, saya berehat
panjang daripada menulis, hanya sekadar pemerhati. Azam saya mahu cepat
bingkas untuk menulis semula. Mungkin sudah tak larat untuk menjadi
penerbit lasak seperti dulu. KDN boleh rehat (ketawa). Begitu juga
aktiviti yang memerlukan aksi fizikal. Saya sudah pencen bab itu.
Bila saudara berminat terhadap perjuangan politik dan penulisan?
Sejak sekolah rendah, bercambah di sekolah menengah. Minat dengan
tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Asri Muda, Kassim Ahmad, Tan Chee
Koon, Anwar Ibrahim dan mendengar nama-nama pejuang seperti Burhanuddin
Al-Helmy, Ahmad Boestamam. Kagum dengan kesederhanaan watak pemimpin
tempatan, seperti Dato’ Abu Bakar Omar, bekas Timbalan Presiden PAS,
yang pernah datang ke kampung saya sewaktu kecil. Saya kerap hadiri
ceramah pembangkang, khususnya PAS, sekitar Kubang Pasu, menemani abang
ipar, Allahyarham Morad Ismail. Saya masih ingat, di pinggir bandar
Jitra, saya terkejut dengan kelantangan ceramah Ustaz Bunyamin Yaakub
membelasah Umno, tapi perlahan-lahan saya meminatinya. Tapi saya lebih
terpesona dengan pendekatan dan istilah-istilah menarik dalam ceramah
Dato’ Asri, menjelang kempen PRU 1978. Saya menangis bila Asri kalah di
Padang Terap.
Naluri saya, mesti luahkan apa yang kita tidak suka, walaupun secara
sembunyi, seperti buat surat layang. Sewaktu tingkatan tiga, guru besar
paksa pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga pakai seluar pendek
walaupun sebelum itu kami sudah pakai seluar panjang. Selain menganggap
peraturan baru itu bercanggah dengan agama, kami malu untuk mendedahkan
aurat. Saya tulis surat panjang kepada guru besar membantah keras, tentu
sekali dengan ungkapan yang nampak kurang sopan,
dengan dakwat merah. Saya tidak letak nama penulis. Guru besar cari
siapa yang tulis tapi tak dapat.
Begitu juga sebaik tamat SPM, saya hantar protes kepada pengetua yang
marahkan pelajar perempuan di depan ramai kerana tidak mahubersalam
dengannya. Juga bersurat tanpa nama. Takut-takut berani, kata orang.
Selagi tidak bertindak atau bersuara – dengan cara saya – maka saya
diburu rasa resah, gelisah.
Setelah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang, apakah pelajaran dan kesimpulan daripada pengalaman saudara?
Buat saja apa yang menjadi keyakinan dan minat kita. Buat secara
sungguh-sungguh. Tingkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang itu. Jangan
lari bila berdepan masalah kerana pengalaman banyak mendewasakan kita.
Saya hanya faham dengan kerenah pentadbiran universiti bila tidak
berusaha mengelak apabila bertembung dengan pegawai atasannya. Saya
hanya mengerti birokrasi kerajaan, khususnya KDN, bila terus bergerak ke
depan tidak hiraukan segala peraturan yang mengikat dan menyekat. Saya
dapat menilai erti persahabatan sejujurnya apabila berdepan ujian dan
mehnah. Saya hargai ketulusan pengedar akhbar dan majalah saya, yang
mencuba membayar seikhlasnya walaupun tiada bukti dia berhutang sebanyak
itu dalam rekod saya. Dalam masa sama, ada pengedar atau kawan baik
yang ambil kesempatan di atas keuzuran saya, malah menipu lagi. Lumrah
dunia.
Dalam kes rasuah bekas menteri besar Selangor, saya dapat ilmu dan
pengalaman yang cukup banyak, bagaimana amalan tumbuk rusuk itu mudah
berlaku dan sukar dibuktikan. Kuasa menteri besar bagai tidak terkawal,
apatah lagi PM. Sistem kuasa kita bukan saja payah untuk membanteras
salah guna kuasa tapi telah menternak perasuah dengan galaknya. Justeru,
saya sampai kepada kesimpulan, elit Umno-BN tidak akan sedar dan insaf,
dan kita tidak perlu mengadakan kerjasama politik dengan mereka selagi
mereka tidak dipisahkan dengan kuasa. Yakni dikalahkan dalam pilihan
raya baik di peringkat negeri, dan mesti ditumpaskan di peringkat
persekutuan. Sebab itu saya pandang sinis saja ura-ura Umno mahu
bekerjasama dengan PAS. Itu hanya permainan politik.
Melihat ke belakang, apakah perkara yang paling saudara rasa bahagia
dalam perjuangan? Maknanya pencapaian tertinggi yang saudara raih?
Pahit atau manis, semuanya membahagiakan. Saya rasa seronok dan puas
jika dapat menyumbang sesuatu. Sekurang-kurangnya mendorong orang
berfikir. Bila ada yang sudi membaca tulisan kita, itu pun sudah cukup.
Apatah lagi jika ia berjaya merangsang atau mempengaruhi orang berbuat
kebaikan atau menjauuhi, apatah lagi, menentang kemungkaran.
Saya sendiri tak pasti pencapaian tertinggi, terpulang kepada penilaian
orang ramai, khususnya yang mengikuti aktiviti saya dari dekat. Tapi,
bukankah penilaian Allah yang lebih penting, ‘kan?
Adakah terdapat perkara-perkara yang saudara kesalkan sepanjang pengalaman dalam perjuangan?
Semua ujian dan cabaran diharapkan menjadi amalan kebaikan buat saya
selepas mati. Tiada apa yang perlu dikesalkan dengan perjalanan hidup
ini. Kita gagal sesuatu, rupanya ada ganti yang lebih baik. Kita
terkilan sesuatu, rupanya itu bukan terbaik untuk menjadi milik kita.
Penyakit yang menimpa ... semoga menjadi kafarah dosa, yalah, saya bukan
ahli ibadah, tidak selalu ke surau-masjid, banyak salah silap, kerap
menyinggung atau menyakitkan hati orang. Moga-moga sedikit kesulitan ini
dapat mengangkat martabat saya di sisi Allah. Saya malu menyebut hal
ini, tetapi bukankah doa setiap kita, agar apa pun yang menimpa dalam
hidup ini, jangan jadikan ia sia-sia sahaja?
Sejak bila saudara berminat terhadap perjuangan Islam? Siapakah yang
mendorong saudara untuk terlibat dengan perjuangan Islam dan PAS?
Perjuangan Islam yang saya lalui tidak dapat dipisahkan dengan
perjuangan PAS. Saya membesar dalam lingkungan itu. Situasi diwaktu
kecil cukup membantu. Hanya ada satu jalan di depan saya, tiada pilihan
lain, iaitu PAS. Datuk saya, orang kampung biasa saja, Haji Baharom
Taib, berjaya pasakkan kefahaman ini dalam minda saya. Alhamdulillah,
saya bertemu dengan ramai orang yang baik-baik, yang mendorong untuk
berbuat baik. Selain peneman yang memahami, tidak kurang guru yang
membimbing, walaupun diakui, saya agak malas untuk mengikuti kuliah
pengajian secara formal. Ya, kecil saja titik diri kita ini dalam alam
besar perjuangan.
Sepanjang bertahun-tahun dalam perjuangan, apakah kesimpulan yang
saudara dapat buat mengenai keadaan perjuangan Islam dan keadaan politik
negara?
Tentunya masih banyak ruang untuk diperbaiki. Kita perlu bermuhasabah
dan mengkoreksi diri, terutama selepas begitu lama melalui era
kebangkitan semula Islam. Mungkin ada peneliti yang dapat memberi ulasan
lebih menyeluruh terhadap topik besar ini. Saya bersyukur kerana
ditakdirkan bersama mata rantai yang panjang ini, menyokong yang
termampu. Para ulama, tokoh-tokoh pembaharu, tok-tok guru dan pemimpin
masyarakat, individu yang sedar, masing-masing berperanan dan berkorban
sejak lama. Di zaman penjajahan, mereka meniupkan semangat kemerdekaan
dan yakin diri. Mereka kemudiannya berjaya menanam kesedaran untuk
menghayati Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.
Orang terdahulu dengan tanggungjawab mereka, sesuai dengan zaman.
Soalnya, bagaimana keadaan kita, generasi masa kini? Apakah gerakan
Islam kini berupaya tangani cabaran semasa yang semakin rumit dan
sofistikated? Banyak persoalan baru timbul, memerlukan keupayaan lebih
tinggi untuk menjawabnya, bukan saja di atas pentas debat tetapi dalam
bentuk formula penyelesaian dan tawaran kepemimpinan yang meyakinkan.
Fenomena langit terbuka, peningkatan tahap pendidikan, kemunculan lebih
besar kelas menengah, proses pendemokrasian dan perbandaran, kompleksiti
isu-isu serantau dan global, semuanya memerlukan aksi tangkas aktivis
Islam untuk memberikan pencerahan yang segar.
Kita sebagai ejen pembaharu, atau reformis, harus dapat mengungkapkan
dengan tuntas agenda berkaitan good governance seperti akauntabiliti,
ketelusan, integriti, dan isu-isu misalnya, jurang pendapatan makin
melebar di kalangan masyarakat, GST, TPPA, dan lain-lain lagi. Khususnya
apabila diangkat menjadi wakil rakyat, anggota Exco kerajaan negeri,
atau jawatan strategik dalam PBT dan GLC, mereka mesti tampil dengan
teladan yang baik.
Orang sekarang makin lantang dan terbuka mempersoal sesuatu yang mereka
rasa pelik, tidak masuk akal atau menindas. Tiada pantang-larang yang
boleh menyekat mereka untuk bertanya dan menyoal walaupun dalam isu yang
kita dulu anggap sensitif dan provokatif. Isu-isu seperti hak asasi dan
kebebasan juga perlukan definisi yang jelas. Kita juga berada pada
posisi, harus lebih berani membedah kelemahan diri; misalnya apakah
pendakwah atau pejuang itu sendiri sudah dikepung wabak cinta dunia,
senang mendekati penguasa zalim dan tidak lagi merasai derita dan
sempitnya hidup rakyat bawahan?
Walaupun tidak memahami sepenuhnya dengan persoalan yang dibangkitkan
beberapa tokoh pemikir berkaitan cabaran baru gerakan Islam di Malaysia,
tetapi saya tertarik dengan tulisan-tulisan yang menggugah minda,
seperti oleh Dr Asri Zainal Abidin, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Maszlee Malik
dan Dr Siddiq Fadzil. Hatta, saya suka meneliti tulisan Dr Ahmad Farouk
Musa, dari Islamic Renaissance Front (IRF) yang agak kontroversial itu.
Politik? Sekali imbas, cukup mendukacitakan. Kesatuan pembangkang mudah
terburai dengan isu-isu yang dikitar semula. Harapan besar rakyat untuk
melihat sistem dua parti terlaksana bagai kaca terhempas di batu.
Rata-rata pendukung masih melihat dalam perspektif sempit, menurut
kepentingan sendiri. Sukar untuk berjiwa besar, bertolak-ansur, atau
bersikap lebih sopan tangani krisis. Tapi, bukankah politik itu dinamik
dan sentiasa berubah?
Kita saksikan institusi penting dan strategik negara masih di takuk
lama, sukar direformasikan. Hasilnya, tiada mekanisme semak-imbang.
Rakyat umpama tidak berkuasa apa-apa, melihat saja siri salah guna
kuasa, keangkuhan dan pemborosan elit pemerintah. Penyertaan politik
difahami dalam pengertian sangat sempit. Orang politik diakui
bergelumang dengan rasuah dan penyakit tamak kuasa, tapi merekalah
menentukan segalanya untuk kita. Harapan saya lebih kepada orang muda
untuk membuat perubahan dan mencipta sejarah baru. Politik baru sekarang
hanya slogan. Saya impikan generasi muda untuk realisasikan idealisme
politik baru ini.
Apakah pendapat saudara mengenai kewartawanan politik, penulisan
politik dan penerbitan politik di negara ini sepanjang pengalaman
saudara?
Dalam banyak keadaan, saya menganggap adalah malang menjadi wartawan di
negara ini. Kita hanya jadi alat dan perkakas orang lain, khususnya
pemimpin politik. Kalau alat untuk mudahkan kerja kebaikan, bagus.
Selalunya kita diminta berbuat apa saja yang diperintah, jangan campur
tangan hal orang atasan. Untuk menjadi wartawan, perlu ada media tapi ia
dikawal mutlak oleh penguasa. Untuk memiliki lesen akhbar sendiri, bagi
orang macam saya, jangan harap. Tidak ada kebebasan media di negara
kita. Itu hasil kajian ilmiah para sarjana, bukan sangkaan buruk
pembangkang.
Mungkin saja kita boleh beralih kepada laman-laman web dalam Internet.
Tapi itu pun tertakluk dengan syarat ketat SKMM. Tengok apa jadi pada
Malaysian Insider. Masih tidak perlukan permit dan izin pemerintah, tapi
tidak juga bebas, aksesnya boleh disekat tanpa alasan. Juga sukar untuk
berdikari. Saya pernah cuba dengan laman Detikdaily selepas majalah
Detik diharamkan, tetapi sukar bertahan kerana masalah kewangan. Tak
tahu macam mana nak berniaga melalui laman seperti itu, sedangkan kos
selenggaraannya, terutama dana untuk karyawannya tinggi.
Beralih kepada penerbitan buku politik yang tidak memerlukan permit.
Saya juga pernah menceburinya secara aktif. Tulis dan terbit sendiri.
Saya nampak masalah besar masih kepada rangkaian pengedaran yang tidak
diuruskan secara profesional. Bila jualannya laris, ada pula cetak
rompak, saya pernah alaminya waktu Reformasi dulu. Juga buku Shit,
Shahnon Ahmad. Pada keadaan normal, buku sukar sampai kepada peminatnya
yang jumlahnya kecil. Saingan dunia tanpa sempadan, Internet, lagi
menimbulkan cabaran besar.
Itu belum bercakap tentang mutu atau kualiti lagi.
Siapakah tokoh yang paling kuat mempengaruhi pemikiran saudara? Di
kalangan ulama? Ahli politik? Sasterawan? Penulis? Rakan seperjuangan?
Begitu juga dengan buku-buku?
Sukar untuk dipastikan. Masing-masing menyumbang. Dan saya pula, dalam
sesetengah keadaan, mudah untuk dipengaruhi. Semasa kecil, keluarga dan
saudara-mara yang pekat dan likat menyokong PAS (ketawa), selain
penceramah PAS yang pidatonya memukau. Revolusi Islam Iran, 1979,
menyemarakkan semangat itu dengan ketokohan pemimpin karismatik,
Ayatullah Khomeini. Dari segi pemikiran, saya kira pemimpin-pemimpin
Ikhwan Muslimin dan Jamaat Islami. Hampir semua buku-buku terjemahan ke
dalam bahasa Melayu karya Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan,
Mustafa Masyur, Umar Tilmisani, Said Hawa, Maududi, Iqbal dan Dr Ali
Syariati saya borong. Apa juga terjemahan buku berkaitan Revolusi Iran
dan perkembangan gerakan Islam moden, terus saya beli tanpa belek
kandungannya.
Di UTM, sekitar tahun 1982-84, saya mengikuti kuliah petang Rabu Ustaz
Alias Osman, yang sedang menterjemah buku Apa Erti Saya Menganut Islam
dan kuliah malam Sabtu, tafsir Al-Quran di masjid Datuk Keramat.
Bimbingan Dr Ustaz Osman Sabran menserasikan minat politik saya dengan
keperluan terlibat dalam jemaah Islam. Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, juga
pensyarah
UTM, menyemarakkan lagi minat saya. Buku Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang
Jalan, cukup kuat mempengaruhi pemikiran politik saya, yang menolak
sebarang kompromi. Saya pernah menganjurkan diskusi khas buku itu pada
tahun 1985, tetapi pembentang, Ustaz Alias, memilih untuk membincangkan
hanya satu bab di dalamnya, iaitu La Ilahi Illallah Panduan Hidup.
Terima kasih juga kepada Abu Urwah dengan siri buku Risalah Usrah.
Saya juga berdamping rapat dengan buku-buku Hamka, misalnya buku
Falsafah Hidup. Saya cuba menghadam karya agung Imam Ghazali, seperti
Ihya Ulumiddin, tetapi kurang berjaya. Terjemahan Indonesia tidak
memuaskan. Saya menekuni buku yang disenangi oleh arwah bapa, Mengenal
Diri dan Wali Allah. Memang sukar memahami seorang diri buku-buku
tasawuf.
Untuk satu tempoh, memoir Ahmad Boestamam, Tujuh Tahun Malam Memanjang
dan Merintis Jalan ke Puncak menarik perhatian saya. Begitu juga dengan
pengalaman Kassim Ahmad ditahan ISA, Universiti Kedua. Buku Dr Syed
Husin Ali, Dua Wajah, juga menjadi pilihan. Saya asyik mengulangi buku
itu kerana ia bagaikan dapat menenangkan saya ketika diuji.
Jiwa muda saya terangsang dengan buku-buku berkaitan gerakan pelajar,
seperti Mahasiswa Menggugat, yang saya saya beli di Pustaka Antara,
Jalan Tuanku Abdul Rahman. Semasa belajar di UTM, kedai buku ini menjadi
singgahan wajib setiap kali melintasi Chow Kit.
Saya juga terkesan dengan buku Bersama Rakyat, yang mengisahkan
perjuangan hebat mahasiswa pada tahun gemilang 1974. Saya beli dengan
Prof Jomo KS sewaktu menjemputnya ceramah di UTM. Ada dua novel menarik
Baharuddin CD, yang membakar jiwa muda saya, iaitu Arca Berdiri Senja
dan Sesudah Fajar Sebelum Senja. Buku-buku Dr Syed Hussein Alatas
terutama mengenai masyarakat Melayu saya telaah kemudiannya. Puisi
Kassim Ahmad, walaupun tidak banyak, tapi mampu menyentap hati saya.
Sajak-sajak Rendra dan Usman Awang tentunya terasa segar. Dan saya cukup
puas menikmati karya Zahari Hasib yang bijak merakamkan kehidupan
seharian rakyat biasa.
Zahari kerap singgah pejabat Harakah bila turun KL dari Teluk Intan.
Setiap kali ziarah, Almarhum pasti bawa beberapa plastik kecil
gula-gula.
Saya tertarik dengan gaya tulisan Haji Subky Latif. Saya merindui
kolumnya dalam Watan. Saya bercita-cita mahu menjadi sepertinya,
terutama untuk menulis seperti buku-buku beliau, Siapa Selepas Tun
Razak, Siapa Ganti Asri, dan Krisis Timbalan Perdana Menteri. Susunan
bahasanya cukup mudah, begitu juga dengan logikanya. Kadang-kadang saya
cuba meniru langgam bahasanya itu. Ini menyamai karya Azizi Haji
Abdullah dalam cerpen-cerpennya. Saya menikmati keindahan dan misteri
bahasa. Untuk penulisan esei, saya kira rencana Rustam A Sani tinggi
kualitinya.
Saya juga meminati kolum Prof Dr Shamsul Amri Baharudin dan analisis
Prof Jomo. Saya meminati kolum tetap budayawan terkenal Indonesia,
Goenawan Mohamad dalam halaman terakhir majalah Tempo, Catatan Pinggir.
Malah, ruangan tetap saya, Catatan Hujung, mengambil inspirasi daripada
Catatan Pinggir itu. Saya tidak boleh meninggalkan nama besar ini, yang
banyak mengilhamkan susunan kata dan ungkapan istilah yang cukup
kuat-padu, iaitu Dr Siddiq Fadzil. Saya baca berulang kali buku koleksi
rencana pengarang Risalah, terbitan ABIM pada awal 1980-an.
Kadang-kadang saya beli buku bukan kerana pengarangnya tapi kerana Dr
Siddiq menulis prakatanya saja.
Usaha Subky menerbitkan akhbar bebas seperti Suara Rakyat dan Suara
Merdeka cukup menginspirasikan saya untuk menerbitkan tabloid tanpa
permit. Begitu juga buku-buku politik popularnya mengilhamkan saya untuk
menulis buku-buku sama, terbitan sendiri.
Namun, tokoh yang paling banyak menyuntik semangat buat saya terbabit
aktif dalam perjuangan membebaskan media ialah Pak Said Zahari. Saya
agak kerap berkunjung ke rumahnya, di Subang Jaya, sambil bercerita
kisah legendanya – sanggup dipenjara 17 tahun kerana mempertahankan
prinsip – juga mengutip nasihat bermanfaat.
Saya masih ingat, pada akhir 1980-an, saya bergegas ke suatu program di
Pusat Belia Antarabangsa Cheras untuk mendengar ceramah Pak Said buat
kali pertama. Malangnya, beliau tidak dapat hadir dan diwakili oleh
editor Berita Harian Singapura yang membacakan teks ucapannya. Kandungan
bertulisnya panas membara, bergejolak dan berapi tapi disejukkan oleh
penyampainya. Saya tidak puas hati dengan editor tersebut tapi apa boleh
buat. Saya turut mendapat inspirasi daripada tokoh-tokoh reformis awal
abad ke-20 seperti Syed Syeikh Al-Hadi, yang mengusahakan penerbitan
akhbar dan pusat pendidikan.
Pemikiran kepembangkangan saya mungkin lebih didorong oleh Asri dan
Anwar. Harapan saya kepada Anwar begitu tinggi tetapi pecah berderai
bila dia masuk Umno. Watak Anwar sebagai pemimpin mahasiwa, Presiden
ABIM dan WAMY, serta pengorbanannya menguruskan Yayasan Anda lekat di
jiwa saya. Sewaktu di universiti, Ustaz Abdul Hadi Awang menjadi idola.
Ceramah dan kuliahnya sekitar Lembah Kelang pasti tak tinggal.
Ketokohan Ustaz Fadzil Noor lebih menonjol ketika menjadi Presiden PAS
sehingga berjaya membawa banyak perubahan kerana berani melakukan
eksperimen politik. Saya juga cukup kagum dengan kesabarannya; dia juga
mudah didekati, senang akrab dan amat menghormati orang lain walaupun
kita orang biasa. Saya cukup senang dengan gaya politik Ustaz Fadzil
meskipun isi ceramahnya kadang-kadang agak kasar tetapi tetap berjenaka.
Benar, ia anugerah besar buat PAS. Di hari kematiannya, saya cukup
terpukul dan merasa satu kehilangan amat besar.
Wibawa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat lebih terserlah selepas menjadi MB. Di
samping menjadi sumber inspirasi, juga menginsafkan; tok guru banyak
mengingatkan tentang kesederhanaan dan kematian. Pesan kerohaniannya
cukup membekas di hati. Dia insan luar biasa, yang dapat menterjemahkan
tuntutan al-Quran dalam kehidupan di zaman moden ini.
Saya tertarik dengan istilah Prof Mohamad Abu Bakar yang menyifatkan Tok
Guru sebagai antara tokoh yang “muncul seperti gunung yang berbanjaran
dengan deretan kemuncaknya” dan “menjadikan beliau manusia gunung yang
mendefinisikan persekitaran zamannya”.
Saya juga tidak melupai faktor Cikgu Abd Wahab Abd Rahman, dari Megat
Dewa, Jerlun, membuatkan saya lebih terbuka menilai pendekatan politik
dalam masyarakat Melayu. Saya pernah menjadi setiausahanya semasa beliau
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, 1987.-http://bukulutfi.blogspot.my/
*Wawancara ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,
No comments:
Post a Comment