PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pendaftaran
Pertubuhan (RoS) bertindak profesional dalam mengendalikan isu
pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP kerana perkara itu
melibatkan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kedudukan PPBM.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, penyelesaian terhadap permohonan
pendaftaran PH tidak boleh mengenepikan isu PPBM begitu sahaja kerana
parti itu merupakan komponen utama dalam pakatan parti-parti pembangkang
tersebut.
“Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Ketua Pengarah RoS, penelitian
sedang dilakukan bukan sahaja terhadap permohonan (pendaftaran PH) itu
tetapi juga aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli PPBM.
“Dengan PPBM merupakan parti komponen Pakatan Harapan, saya berpendapat
RoS sedang berlaku adil dan menjalankan tanggungjawabnya secara
profesional,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan
hormat Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan di
pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Pada 21 Februari lalu, beberapa pemimpin parti-parti PH memfailkan
saman terhadap RoS kerana mendakwa jabatan itu gagal memberi maklum
balas terhadap permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.
Bagaimanapun, pada 22 Februari lepas, kira-kira 1,000 ahli akar umbi
dan bekas pemimpin kanan PPBM berhimpun di hadapan Ibu Pejabat RoS bagi
mendesak tindakan terhadap PPBM yang melanggar perlembagaan parti itu
sendiri serta pelbagai kepincangan dari segi salah laku.
No comments:
Post a Comment