Selasa, 2 Januari 2018

PRU14: PH Sarawak yakin menang 10 kerusi Parlimen

DETIK DAILY

 
 
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sarawak memutuskan untuk memfokuskan hanya 10 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata pengerusi PH negeri, Chong Chieng Jen.

Chong yang juga seorang daripada 6 naib presiden PH berkata, walaupun gabungan itu bercadang bertanding di semua kerusi Parlimen Sarawak, tetapi mereka paling yakin boleh memenangi 10 kerusi yang bakal diumumkan itu.

“Kami akan fokus 10 kerusi bandar dan pinggir bandar, termasuk apa yang kami ada. Itu adalah 10 kerusi yang kami percaya boleh dimenangi.

“Kami cuba bersikap realistik dan 10 kerusi, untuk kami, ialah angka munasabah. Dalam politik, walaupun kami mahu berkeyakinan, kami juga perlu realistik.

“Sentimen di Malaysia Barat ialah jika PH Sarawak boleh menang 10 kerusi, maka kita pasti dapat menawan Putrajaya,” kata Chong

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. DAP, PKR dan Amanah dalam PH kini memegang 6 kerusi — Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.

Chong berkata, walaupun 10 kerusi mungkin kelihatan seperti angka kecil, sebenarnya ia akan menjadi peningkatan lebih 66% yang “cukup baik”.
Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam satu wawancara dengan FMT minggu lalu percaya keputusan pilihan raya akan datang tiada beza dengan PRU13.

“Yang terbaik pembangkang boleh jangkakan ialah mengekalkan prestasi pada 2013,” kata penganalisis politik itu.

Beliau berkata, dalam senario terburuk, PH akan nampak keputusan sama pada pilihan raya negeri 2016 di mana mereka kalah walaupun di kawasan yang mereka anggap kubu kuat sendiri.

Ketika ditanya mengenainya dan jika kehadiran Amanah boleh membantu PH mengembangkan pengaruhnya di Sarawak, Chong percaya parti itu mampu berbuat demikian, walaupun Amanah gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri 2016.

“Setiap orang mempunyai pengaruh terhadap orang di sekeliling mereka. Sebagai sebuah parti, pengaruhnya lebih besar. Ada kawasan tertentu yang boleh ditandingi Amanah, di mana mereka akan memberikan impak.

“Mereka akan melakukan lebih baik daripada pilihan raya negeri kerana pilihan raya Parlimen ini adalah penampilan ke-2 mereka (di Sarawak). Sudah tentu kehadiran mereka lebih besar kali ini,” katanya.

PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos ini. 
 
 

Tiada ulasan: