Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. foto FAREEZ FADZIL,
KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan Pakatan
Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana
menteri membuktikan parti pembangkang itu ketandusan pemimpin masa depan
negara.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, lebih menghairankan
apabila pemimpin pembangkang selama berdekad mencerca dengan pelbagai
gelaran terhadap Mahathir dan kini boleh menerimanya sebagai pemimpin
mereka.
“Sepanjang 22 tahun, Tun Mahathir menjadi perdana menteri, hampir
setiap hari pemimpin pembangkang terutama DAP dan PKR mencaci serta
menghina kepimpinannya yang dikatakan memusnahkan demokrasi serta
menindas rakyat.
“Kini, PH seolah-olah lupa tuduhan, kebencian dan penghinaan mereka
terhadap Tun Mahathir demi memanipulasi emosi dan fikiran rakyat dalam
memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Ketua
Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) beramah mesra dengan pemimpin Wanita BN selepas mempengerusikan mesyuarat
Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu Shahrizat mempengerusikan mesyuarat Wanita BN yang
membincangkan beberapa isu termasuk persiapan menuju PRU14, di ibu
pejabat Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari
ini.
Beliau mengulas keputusan Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 di Pusat
Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Ahad lepas menamakan Mahathir
sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
sebagai timbalannya.
Pengumuman itu turut memutuskan pembahagian kerusi Parlimen yang
bakal ditandingi oleh parti komponen PH, di mana Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) diberikan 52 kerusi, disusuli Parti Keadilan Rakyat
(PKR)-51, DAP-35 dan Parti Amanah Negara (PAN)-27.
Shahrizat berkata, Wanita BN bersiap sedia bersama barisan jentera
parti komponen untuk menjalankan tugas demi mengekalkan kemenangan BN
pada PRU14.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia khususnya generasi muda
supaya bijak menterjemah permainan politik pembangkang yang rakus
mengatur strategi memenangi PRU14 berpaksikan kepentingan peribadi
pemimpinnya.
“Ternyata, pembangunan negara dan pembelaan isu-isu rakyat bukanlah
agenda utama dalam perancangan PH hari ini, sebaliknya semata-mata
menentukan agenda peribadi mereka sahaja.
“Berbeza dengan BN yang sentiasa konsisten untuk memastikan rakyat
dan negara sentiasa dalam keadaan stabil, aman dan sejahtera,” katanya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan