KOTA KINABALU: Agihan kerusi di Sabah membabitkan Pakatan Harapan (PH)
dan parti pembangkang negeri itu dijangka selesai hujung bulan ini.
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berharap
agihan kerusi di negeri lain juga dapat di selesaikan dalam tempoh yang
sama.
"Kita akan minta setiap parti (PH) untuk menyenaraikan calon mengikut
kawasan yang dikhususkan dan setiap parti saya pasti sudah kenal pasti
bakal calon.
"Begitu juga dengan pembahagian kerusi mesti dibereskan sebelum akhir
bulan ini. Kita minta semua negeri menyelesaikan agihan bagi setiap
kerusi DUN atau Parlimen," katanya pada sidang media PH Sabah, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pakatan Harapan Sabah yang juga Pengerusi
PKR negeri, Christina Liew dan Timbalannya yang juga Pengerusi DAP
Sabah, Stephen Wong.
Muhyiddin berkata, PH terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti
pembangkang lain di negeri ini yang berkongsi matlamat sama untuk
menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pertemuan atau kerjasama rasmi
dengan parti pembangkang lain termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan)
yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
"Terpulang kepada Shafie untuk buat apa yang patut, ..saya tidak ingat
sama ada dia pernah cakap pasal itu (kerjasama Warisan dan Pakatan
Harapan) dengan saya," katanya.
Sementara itu, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan, berkata PH
Sabah sedia menawarkan 60 peratus atau sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN
kepada Warisan dan mengiktiraf parti itu sebagai parti tunjang di
peringkat negeri.
Sebagai timbal balik, katanya, pihaknya mahu supaya 60 peratus atau
sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen diagihkan kepada PH Sabah pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya, cadangan itu sudah dipersetujui secara sebulat suara oleh
pemimpin PH Sabah dan ia akan dibincangkan dengan Mohd Shafie dalam masa
terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan