Sabtu, 27 Januari 2018

Mana ada mula lagi rundingan PH Selangor, kata DAP

Mana ada mula lagi rundingan PH Selangor, kata DAP
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata parti itu tidak pernah dimaklumkan mengenai rundingan kerusi DUN bagi Pakatan Harapan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
RUNDINGAN pembahagian kerusi negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor jadi tanda tanya apabila parti-parti dalam PH mendakwa ia belum lagi bermula sementara PKR mengatakan ia sudah diadakan beberapa kali.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PH Selangor seperti diumumkan PKR hari ini.

Pua berkata setahu beliau Jawatankuasa Pilihan Raya PH hanya berfungsi untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukan untuk rundingan kerusi.

“Saya tidak pernah diberitahu.

“DAP Selangor tak pernah dimaklumkan mengenai perkara ini,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu kepada The Malaysian Insight.

Pua berkata jika rundingan kerusi bagi PH Selangor gagal diselesaikan sebelum tarikh ditetapkan pada 31 Januari akan datang, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Rundingan Kerusi di peringkat pusat.

“Kami yakin Jawatankuasa Rundingan Kerusi PH dapat menyelesaikan ini bagi pihak PH Selangor,” katanya.

Hari ini, Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata rundingan kerusi DUN di negeri itu sudah berjalan empat kali.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor yang dipengerusikan Dr Xavier Jeyakumar sudah dilangsungkan sebanyak empat kali.

“Saya ingin memperbetulkan dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani yang mendakwa tidak ada jawatankuasa yang dibentuk bagi tujuan rundingan kerusi pilihan raya di peringkat PH Selangor.

“Lebih tidak tepat lagi apabila dakwaan tersebut mengatakan terdapat rundingan sulit antara PKR Selangor untuk membawa PAS bersama dalam membentuk pakatan politik di Selangor,” kata Zuraida yang juga ketua Wanita PKR dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata rundingan kerusi DUN di negeri itu sudah berjalan selama empat kali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.
Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata rundingan kerusi 
DUN di negeri itu sudah berjalan selama empat kali. – 
Gambar fail The Malaysian Insight,
Zuraida berkata komitmen Azmin Ali selaku pengerusi PH Selangor tidak wajar dipertikaikan.
“Untuk rekod, PH Selangor telah dua kali bermesyuarat dengan dipengerusikan sendiri oleh beliau.

“Umum juga mengetahui kerja keras pentadbiran Selangor dalam membantah secara bersungguh-sungguh Syor Pertama Kajian Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya oleh SPR membuahkan hasil dan menggagalkan usaha persempadanan semula di 18 kerusi Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, Jamzuri berkata: “Zuraidah silap. Mesyuarat yang dia cakap tu bukan mesyuarat agihan kerusi. Itu mesyuarat Biro Pilihan Raya. Mesyuarat Biro Pilihan Raya sepatutnya bincang gerak kerja jentera, bukan bincang pasal kerusi.

"PKR yang bawa agenda agihan kerusi dalam mesyuarat biro pilihan raya ... salah tempat. DAP, PPBM, Amanah faham benda ni .., tapi PKR tak faham," kata Jamzuri.

The Malaysian Insight melaporkan sebelum ini, PH Selangor masih belum memulakan secara rasmi rundingan untuk agihan kerusi negeri walau tempoh yang ditetapkan berakhir pada 31 Januari.

Bahkan, Jawatankuasa Khas Rundingan Agihan Kerusi DUN Selangor yang sepatutnya dianggotai oleh wakil dari empat parti komponen juga masih belum dibentuk.

Antara punca yang dikenal pasti ialah tindakan PKR yang masih cuba menarik PAS bersama dengan keyakinan bahawa PH akan kalah, hatta di Selangor tanpa penyertaan parti Islam itu.

Jamzuri berkata Amanah Selangor menghantar surat kepada pengerusi PH Selangor mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut dengan segera.


Tiada ulasan: