Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Kini
Datuk Mahfuz Omar hidup bergelut dengan kata hatinya sendiri. Beliau
akan sentiasa terpaksa melayan gejolak batinnya sendiri. Apakah
tindakannya meninggalkan jemaah PAS melanggar sumpah atau tidak?
Adakah
sumpah bai’ahnya sebelum ini berkuatkuasa jika beliau sekadar keluar
PAS dan menyertai parti lain atau meninggalkan PAS sahaja sudah cukup
dirumuskan sebagai mengkhianati bai’ah yang dibuat sebelum pilihanraya
umum ke-13 lalu?
Namun, hakikatnya secara sedar ahli parlimen Pokok Sena itu telah
melanggar janji pada Allah bahawa apabila terpilih sebagai wakil rakyat
PAS beliau tidak akan meninggalkan jemaah berkenaan apatah lagi untuk
menyertai parti politik lain.
Persoalan ini ditimbulkan oleh Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin
sebagai mengulas tindakan Mahfuz meninggalkan PAS hujung tahun lalu.
Namun beliau menganggap tindakan Mahfuz langsung tidak memberi kesan
kepada PAS.
Sebaliknya, kata beliau, Mahfuz perlu bertanggungjawab perbuatannya
mengkhianati janji dengan Allah. Ini mungkin menyebabkan segala
pendapatan Mahfuz sebagai wakil rakyat dikhuatiri menjadi haram selain
mungkin dilaknat Allah kerana melanggar bai’ah.
"Di dalam Islam wajib kita taat pada bai'ah yang dilafazkan sebab itu
janji seseorang itu dengan Allah. Apa sekalipun kita tidak halang,
terpulang kepada beliau (Mahfuz) kerana itu tanggungjawabnya dengan
Allah," katanya
Ahad lalu, Mahfuz yang menjadi ahli PAS sejak 12 Mac 1984 mengumumkan
keluar PAS berkuatkuasa jam 11.59 malam dan berkhidmat sebagai wakil
rakyat bebas sehingga pengumuman Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
dibuat.
Mahfuz menghantar e-mel pemberhentiannya kepada Setiausaha Agung PAS,
Datuk Takiyuddin Hassan memberi alasan “kegagalannya menjadi
'penghubung' di antara gabungan pembangkang dan PAS” sebagai punca
meninggalkan PAS.
Turut keluar PAS ialah isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, 58, dan
anaknya, Siti Nur Syahidah, 30, manakala anak lelakinya, Muhammad
Mujaheed, 35, sudah keluar parti itu setahun lalu.
DAP rai keputusan Mahfuz
Mungkin yang menggalakkan Mahfuz meninggalkan PAS adalah rakan-rakan
pembangkang seperti DAP. Malah parti itu dalam meraikan keputusan Mahfuz
itu menyatakan tindakan Mahfuz wajar kerana “perjuangan PAS yang
semakin sesat”.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tindakan Mahfuz kerana kecewa PAS kini dilihat mesra Umno-Barisan Nasional (BN).
"Jelas di sini bahawa Mahfuz hendak memastikan ada satu pakatan
pembangkang yang kuat untuk melawan BN. Kerana, sudah nampak dari segi
politik perjuangannya, politik PAS sesat. Sesat sampai dipuji oleh Umno.
"Kalau anda dari politik ini, di mana pembangkang dipuji baik oleh
parti pemerintah, maka lingkuplah," kata Guan Eng pada sidang media
Isnin lalu.
.
Ini
mengundang reaksi tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Man Tuan
Ibrahim yang mengingatkan DAP usah masuk campur urusan PAS.
Katanya, dasar parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu juga
ada kekurangannya sehingga ada segolongan ahli dan pemimpin yang
bertindak keluar DAP.
“Bagi kita tindakan beberapa tokoh DAP keluar parti di Johor, Melaka;
jika dilihat apa yang dibuat oleh DAP itu mencerminkan tindakan DAP
sendiri diprotes oleh ahli-ahli mereka dan keluar parti, menyerlah sikap
cauvanis, perkauman," katanya.
"Komen DAP (Guan Eng) lari dari apa yang Mahfuz sebutkan. Jika kita
lihat kenyataan Mahfuz, tiada kena-mengena dengan PAS sesat, makin
jauh... Bagi PAS, itu hak peribadinya.
“Kita tahu Mahfuz sudah lama buat kenyataan yang bercanggah dengan
pendirian parti. Ini bukan perkara baru. Semua maklum beliau akan umum
(keluar parti).
"Sikap DAP yang menentang dasar-dasar yang dibawa PAS semakin menyerlah
dengan kenyataan beliau. Sebab itu PAS ambil keputusan bahawa tindakan
DAP selama ini menjadi punca kepada sikap tak hormat kepada dasar yang
diperjuangkan oleh PAS," ujarnya.
Mahfuz akhirnya jadi 'anak jantan'
Reaksi kepimpinan tertinggi PAS nampaknya agak senada. Naib Presiden
PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata tindakan Mahfuz itu
membuktikan beliau adalah ‘anak jantan’ dan bukannya 'pondan Siam'.
"Saya ucap tahniah kepada Mahfuz Omar kerana menjadi anak jantan dan
bukan lagi pondan Siam,” katanya walaupun mendakwa Mahfuz, sekian lama
menjadi ‘duri dalam daging PAS’.
.
Malah seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan 'tiada
nilai berita' di sebalik pengumuman Mahfuz keluar parti itu.
"Tak ada komen apa berkenaan dia, pada saya tak ada nilai berita (tentang) apa yang dia hendak buat," katanya.
Adalah dijangka dalam waktu terdekat ada beberapa pemimpin kecil PAS
lain melompat keluar PAS. Seperti karenah Mahfuz, mereka dilihat
cenderung menyertai aktiviti pembangkang lain.
Mungkin
digalakkan oleh bekas ahli-ahli PAS yang menyertai pembangkang,
pengikut Mahfuz ini mungkin “terdesak dan bimbang” tidak akan terpilih
menjadi calon PAS sekali lagi. Mereka percaya lawan PAS seperti Amanah
dan PKR akan menerima mereka.
Bagaimanapun persoalannya, adakah ahli-ahli PAS yang mengundi mereka
pada pilihan-pilihanraya lalu akan memangkah mereka dalam PRU akan
datang? Mereka mahu rakyat menghukum kerajaan sedia ada tetapi tidakkah
mungkin keadaan sebaliknya berlaku?
Nampaknya sikap politik Mahfuz adalah bak burung pegar. Beliau mengaku
menjadi “penghubung” PAS dengan parti pembangkang lain. Bagaimanapun
kini terbukti si-pegar yang makan padi.
Sepatutnya jika gagal jadi jambatan PAS-PH, Mahfuz kembali pada PAS.
Sebaliknya, beliau meninggalkan PAS. Bagaimanapun PAS nampaknya pun
tidak berminat dengan Mahfuz. Biarlah dia bergelut rasa batinnya atau
dimakan sumpah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan