Khamis, 25 Januari 2018

Jambatan reput tunggu masa roboh, BN terus abai penduduk Keningau


Oleh

Walaupun terletak hanya lebih kurang 16 kilometer Bandar Keningau, kedua-dua kampung yang terletak di kawasan DUN Bingkor ini masih tersisih jauh dari arus pembangunan perdana.

Jambatan kayu utama merentasi Sg Liau yang menghubungkan Kg Liau Darat dan Kg Liau Ulu hanya menunggu masa sahaja untuk roboh.

Lebih mengejutkan, jambatan berusia lebih 30 tahun ini tidak pernah digantikan dengan jambatan konkrit melainkan hanya menjalani sedikit kerja-kerja penambahbaikan oleh Jabatan Kerja Raya pada tahun 2010 lalu.

Keadaan ‘titi’ kayu yang mereput teruk dan berlubang-lubang ini menyebabkan kesukaran pergerakan lalu-lintas.

Sehingga kini, sebanyak empat kes motorsikal tergelincir jatuh ke dalam Sg. Liau dilaporkan akibat mengelak lompong besar pada permukaan jambatan.

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, walaupun telah banyak kali aduan di buat oleh penduduk, tiada sebarang tindakan serius diambil melainkan sekadar pemantauan biasa JKR tiga minggu lalu.

“Pihak DAP Keningau dimaklumkan bahawa sudah dalam beberapa kali laporan mengenai keadaan jambatan reput dibuat tetapi belum ada sebarang kerja pembaikan dilaksanakan,” kata Peter yang menggesa supaya masalah tersebut diselesaikan.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Keningau, Jigu Abas yang bertanggungjawab menjalankan pemantauan di sana, masalah penduduk sering dibiarkan tanpa tindakan segera.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan yang mengorbankan jiwa baru kelam-kabut mengambil tindakan.”

“Selain daripada masalah jambatan kayu utama yang reput, penduduk setempat sini juga hanya menikmati jalan-raya tidak berturap dan berlubang-lubang,” katanya lagi. –Roketkini.com


Tiada ulasan: