Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Umno memerlukan lebih ramai pemimpin yang berpengaruh dan
berwibawa khususnya diperingkat tempatan dalam merealisasikan hasrat
merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata,
kemasukan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib saja
dilihat kurang memberi impak kepada Umno kerana tokoh itu mempunyai
'keterbatasan' khususnya daripada aspek sokongan pengundi muda.
"Mereka (Umno) perlukan ramai (pemimpin), bukan dia (Muhammad) seorang.
Sebab dia kelebihan tetapi ada juga keterbatasan, tapi ia memerlukan
ramai lagi orang khususnya pemimpin muda yang menonjol untuk bantu BN.
"Tak kira sama ada daripada kalangan pembangkang mahupun NGO yang
dilihat boleh mewakili masyarakat. Tak semestinya pemimpin itu
diperingkat nasional, boleh juga diperingkat lokal. Yang penting dia
boleh bawa sokongan dan tarikan kepada pengundi," katanya kepada
Antarapos, ketika mengulas impak kemasukan Muhammad ke dalam Umno.
Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib pada Ahad lalu
mengumumkan menyertai semula Umno selepas meninggalkan parti itu pada
2013.
Kemasukannnya ke dalam Umno dibuat ekoran kecewa PKR tidak mementingkan agenda perjuangan Melayu mahupun Islam.
Mat Taib menyertai PKR pada tahun 2015. Sebelum itu beliau menyertai PAS pada tahun 2013.
Keputusannya kembali kepada Umno dilihat akan memperkuatkan kempen
parti itu untuk menawan semula Selangor daripada pembangkang yang
dipimpin oleh PKR sejak 2008.
Muhammad adalah bekas ADUN Hulu Selangor dan pernah menjadi Menteri
Besar pada tahun 1986 sehingga 1997 dan masih dilihat berpengaruh,
khususnya di Selangor.
Dalam pada itu Azizuddin tidak menolak penyertaan semula Mat Taib dapat
memberi sedikit nilai tambah kepada Umno khususnya di Selangor.
Beliau dalam pada itu tidak menjangkakan Mat Taib akan diangkat sebagai
calon mahupun mengetuai jentera pilihan raya Umno di negeri itu,
sebaliknya tokoh itu berkemungkinan memainkan peranan penting daripada
belakang tabir.
No comments:
Post a Comment