Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Seorang lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
menolak dakwaan pergolakan dalaman parti itu sehingga menjurus dua
pemimpin kanannya keluar, berpunca dari isu kepimpinan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman
membuat penegasan demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas
pemimpin parti, Anina Saadudin dan ahli terdahulu yang membangkitkan isu
kepimpinan sebagai punca pergolakan dalaman parti itu.
"Betul. Betul. (Tidak berbangkit isu kepimpinan)," katanya ringkas kepada Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, tegas Syed Saddiq, beliau percaya partinya masih
membawa matlamat perjuangan yang jelas serta tidak tersasar sejak
tertubuhnya parti serpihan Umno itu setahun lalu.
"Itu hak demokrasi dia untuk keluar. Kita tidak ada masalah tetapi
parti sentiasa kukuh. Contoh, dalam tempoh masa dua minggu sahaja Armada
lancarkan sesi pendaftaran ahli, kita dapat tambah 3200 ahli.
"Tidak kira pemimpin mana pun yang keluar walaupun diri saya sendiri.
Selagi parti berlandaskan matlamat perjuangan parti yang betul. Saya
percaya rakyat tetap bersama kami," tambahnya.
Semalam, media melaporkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata tindakan bekas pengasas bersama parti itu, Anina Saadudin
mengisytiharkan keluar parti adalah disebabkan masalah peribadi dan
tiada kaitan dengan kepimpinan parti seperti yang didakwa.
Ujarnya, malah pemimpin wanita itu pernah berjumpa dengan beliau
beberapa bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk 'berundur' ekoran
menghadapi 'masalah yang begitu banyak'.
Walaubagaimanapun, Anina dalam satu kenyataannya semalam, sekali lagi
meminta bekas timbalan perdana menteri itu menjelaskan isu sebenar yang
dibangkitkannya.
Krisis kepimpinan parti bunga yang diterajui mantan perdana menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad itu terus bergolak apabila Anina keluar parti
sekaligus kehilangan dua orang pengasas parti itu.
Alasan yang sama turut disuarakan pemimpin dan ratusan ahli parti itu
yang kemudiannya bertindak keluar parti sebelum ini, termasuk salah
seorang pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman pada April lepas.
Turut melepaskan jawatannya ialah bekas naib presidennya Datuk Hamidah Osman.
No comments:
Post a Comment