Tuesday, September 19, 2017

Peguam Tun M gesa RCI buat laporan polis ke atas JASA [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Peguam yang mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan gesaan supaya laporan polis dibuat terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berikutan kenyataannya pada 9 September lalu.
 
Haniff Khatri Abdulla berkata keterangan bekas penolong gabenor bank negara, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 6 September lalu tidak merujuk kepada Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang didakwa Puad. 
 
Sebaliknya kata Haniff, keterangan Nor Mohamed merujuk  kepada bekas gabenor dan timbalannya pada ketika itu, iaitu Tan Sri Jaafar Hussein dan Tan Sri Lin See Yan.
 
"Bagaimana mereka menyentuh keterangan yang diberikan Nor Mohamed di mana mengatakan orang atasan yang dirujuk oleh beliau semestinya adalah Dr Mahathir dan Anwar. 
 
"Pada kami ia salah dan satu penyelewengan keterangan sebab dalam rekod Nor Mohamed menunjukkan orang atasan yang dimaksudkan dan katakan dalam keterangan itu adalah bekas gabenor BNM (Jaafar) dan timbalannya (Lin). 
 
"Bagi kami kenyataan dibuat tidak boleh menimbulkan penghinaan dan celaan kepada saksi. Dan menjadi satu tanggungjawab RCI untuk memelihara martabat dan maruah saksi," ujarnya ketika ditemui pemberita di luar bilik bicara di Istana Kehakiman, hari ini.
 
Respon Haniff itu merujuk kepada penggulungan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Tan Sri Sidek Hassan yang berkata tiada keperluan untuk membuat laporan polis terhadap Mohd Puad.
 
Ia diputuskan Sidek selepas meneliti 42 dokumen dan 25 keterangan saksi berdasarkan prosiding selama lapan hari.
 
Puad sebelum ini mendakwa keterangan Nor Mohamed cuba melindungi Dr Mahathir, selepas mengaku bertanggungjawab di atas kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM).
 
Puad juga mempersoal mengapa jumlah kerugian sebenar yang ditanggung BNM berbeza dengan laporan yang dibentangkan di Kabinet pada waktu itu.
 
Anwar, saksi ke-21 prosiding itu pada 7 September lalu disoal suruhanjaya  berkenaan jumlah sebenar kerugian kepada kabinet.
 
Ia berikutan kenyataan Anwar yang mendakwa kerugian itu bernilai RM5.7 bilion, namun Sidek mendakwa jumlah sebenarnya adalah RM32 bilion.
 
 
 

No comments: