LAGI laporan polis dibuat terhadap peguam
kontroversi, Siti Kassim yang sebelum ini didakwa menghina Nabi Ibrahim
dan memutarbelitkan kefahaman mengenai peristiwa Qurban.
Kali ini, Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang (DMPNPP) diketuai oleh Naib
Ketua, Fadzilah Ahmad telah membuat empat laporan polis serentak di dua
tempat iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan
Balai Polis Teluk Kumbar hari ini.
Laporan yang sama juga dibuat ke atas wakil rakyat pembangkang di
Sabah, David Orok yang didakwa menyokong kenyataan Siti Kassim yang
berbaur penghinaan terhadap Nabi Ibrahim AS dan terhadap Islam.
DMPNPP menggesa supaya satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan
undang-undang dilakukan ke atas kedua-dua individu tersebut, seterusnya
diambil tindakan yang sah berteras undang-undang.
Kata Fadzilah, laporan itu dibuat kerana status komen Siti Kassim
dan David Orok disifatkan satu dakyah menyeleweng dari fakta dan
maksud.
Malah kata Fadzilah status komen dua aktivis Itu cuba mewajarkan
keterangan secara bohong dan palsu dalam sirah Korban Nabi Ibrahim dan
anaknya Ismail.
Selain itu tambah beliau, status tersebut berunsur penghinaan yang melampau, menyinggung dan berbaur hasutan.
Malah katanya lagi kenyataan dua individu itu bagi DMPNPP diajukan
secara biadab angkuh hingga boleh membangkitkan ketidakharmonian antara
agama.
Tambahan pula kata beliau, status tersebut berpotensi membangkitkan
rasa permusuhan antara agama dan mencetuskan hubungan tegang di mana ia
merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
"Semua ini bererti dan boleh ditafsirkan sebagai menentang
Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan
dan menentang serta mencabar Yang di-Pertuan Agong selaku penaung agama
Islam bagi Malaysia.
"Ia juga bersifat ancaman dan gugatan ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara" dakwa beliau dalam laporan polis itu.
Hadir sama semasa membuat laporan polis itu adalah beberapa orang ahli jawatankuasa DMPNPP. – HARAKAHDAILY
Hadir sama semasa membuat laporan polis itu adalah beberapa orang ahli jawatankuasa DMPNPP. – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment