Saturday, September 9, 2017

'Satu hari Hasbullah Awang panggil saya...'

Oleh Zeanaaima Md Yusuf
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: 'Satu hari Hasbullah Awang panggil saya', cerita pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad ketika ditanya bagaimana kerjayanya bermula lebih kurang 15 tahun lalu.
 
Hafizal, 38, adalah anak didik kepada pengulas sukan tersohor, Allahyarham Haji Hasbullah Awang, memulakan kariernya dalam bidang penyiaran pada 2003 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
 
"Bila praktikal di RTM, saya jumpa Hasbullah Awang dan Zainal Abidin Rawop. Setiap kali nampak Hasbullah, saya akan (buat suara pengulas sukan) 'nampaknya Hasbullah Awang sudah tiba'.
 
"Lama kelamaan Hasbullah tengok saya. Satu hari dia tanya saya, 'Zal, abang nak tanya, kau betul-betul minat ke (jadi pengulas sukan) atau kau main-main? 
 
"Saya jawab, 'saya minat abang'. Dia kata 'kalau minat, ini syarat-syarat dia'. Hasbullah suruh saya pergi ujibakat dan saya dapat. Saya seronoklah nak masuk tv, semua orang kampung boleh tengok. Rupanya tidak. Setahun saya kena kerja belakang tabir, sebelum boleh muncul di kaca tv," ujarnya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
 Hafizal adalah pengulas sukan Astro Arena. Bakat dan kepetahannya berbicara begitu menonjol ketika kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang melabuhkan tirai 30 Ogos lalu.
 
Bapa kepada dua orang anak itu begitu meminati kerjayanya sebagai pengulas sukan dan terbukti apabila beliau beberapa kali dilihat sebak ketika menjalankan tugasnya - meraikan atlet yang berjaya meraih pingat untuk negara. 
 
Hafizal yang pernah dianugerahkan Pengulas Sukan Terbaik Seri Angkasa 2011 menceritakan kembali perjalanannya menjadi anak didik Hasbullah.
 
"Hasbullah kata saya kena ikut dia setahun untuk belajar (selok belok dunia penyiaran sukan). Dalam tempoh setahun, kalau tak boleh ikut, kami boleh bercerai.
 
"Dalam masa setahun saya buat skrip, nota untuk dia, kena tarik wayar kamera. Pendek kata macam-macamlah. Daripada saya tak tahu apa-apa dalam bidang penyiaran, hingga saya tahu," katanya. 
 
Pernah Hafizal merasa putus asa dan terfikir untuk berhenti daripada menuntut ilmu daripada Hasbullah namun isteri dan bapanya terus memberikannya semangat untuk bertahan.
 
Ujar Hafizal hingga kini beliau tidak percaya dirinya terpilih untuk menjadi anak didik kepada Hasbullah.
 
"Nama Hasbullah Awang macam tak boleh dipisahkan dengan saya. Ketika beliau meninggal dunia, sebulan saya tak boleh nak buat apa. Saya rasa hidup saya tak bermakna," sambil air matanya bergenang ditubir matanya.
 
Hafizal menarik nafas yang dalam sebelum menyambung "Hasbullah wasiatkan saya semua buku nota dia"
 
"Arwah pernah pesan kepada isterinya agar semua buku-bukunya diberikan kepada saya. Satu masa Arkib Negara hubungi saya untuk dapatkan buku-buku itu.
 
"Saya cakap satu sahaja, buku ini bukan milik saya. Satu hari nanti bila saya sudah tidak pakai buku ini, saya akan beri pada pelapis saya nanti," katanya tenang.
 
Ditanya apakah yang tercatit didalam buku itu, Hafizal berkata semua info serta peraturan sukan yang perlu diketahui pengulas sukan ada didalamnya.
 
"Cakap nak sukan apa? Silat? Semua peraturan sukan silat ada daripada A hingga Z. Dan bukan cetakan komputer tapi seratus-peratus tulisan tangan arwah," cerita Hafizal.
 
Hasbullah, 63 dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dipercayai akibat komplikasi jantung.
 
Allahyarham merupakan antara pengulas sukan terbaik yang pernah dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim Razali. 
 
Allahyarham mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik yang begitu mencuit hati pendengar ulasan sukan daripada beliau. 
 
Allahyarham yang dilahirkan 9 September 1952 di Teluk Intan, Perak, memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 RTM selain pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak bersama Kak Yong.
 
Populariti Allahyarham memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an.
 
 

No comments: