Saturday, September 9, 2017

Malaysia sumbang RM4j bantu pelarian Rohingya - TPM

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Malaysia akan menyumbang bantuan makanan dan peralatan bernilai RM4 juta bagi membantu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh.
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan dihantar melalui misi bantuan kemanusiaan hasil sumbangan kerajaan yang dibantu beberapa syarikat penerbangan untuk menghantar bekalan berkenaan.
 
"Esok satu sumbangan kemanusiaan yang akan membawa barangan dan peralatan bernilai RM4 juta untuk diagihkan kepada mangsa (pelarian Rohingya) yang telah dihalau dari bumi mereka dan berada di sempadan Bangladesh.
 
"Atas dasar itu Malaysia mendapat penajaan dari beberapa syarikat penerbangan bagi membawa bantuan itu untuk membantu pelarian Rohingya," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat dan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Asnaf Sempena Merdeka Ride Persatuan Superbike Malaysia (SAM) di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hutan Melintang, dekat sini malam tadi.
 
Pada majlis itu seramai 20 fakir miskin menerima bantuan. Hadir sama, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.
 
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meraikan tiga pasangan pengantin dan turut bersama-sama mereka dalam majlis makan beradab.
 
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif SAM berkata, penunggang motosikal berkuasa besar di negara ini mahupun dari negara jiran yang boleh melakukan pelbagai kegiatan permotoran dengan bebas harus mengambil iktibar atas apa yang berlaku di Myanmar.
 
Beliau yang dipetik BH Online berkata, situasi di Myanmar sangat berbeza dan dalam aspek kemanusiaan dokongan perlu diberikan atas negara yang diwakili.
 
"Kita berada dalam situasi aman dan harus bersyukur di tempat kita keamanan sentiasa dirasai.
 
"Jangan lupa orang Rohingya yang dinafikan hak untuk menyabung nyawa dan malam ini himpunan solidariti bikers (penunggang motosikal berkuasa tinggi) bukan hanya di Bagan Datuk," katanya.
 
 

No comments: