KOTA KINABALU: Hak Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara dalam
Persekutuan Malaysia, selain memastikan rakyat kedua-dua negeri itu
terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil
menambah, sebuah jawatankuasa khas mengkaji hak rakyat kedua-dua negeri
itu sudah ditubuhkan bagi memastikan hak serta kepentingan mereka
dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita akan berunding dalam satu keluarga. Tak payahlah kita membuat
slogan ‘Sabah for Sabah’, ‘Sarawak for Sarawak’. Kita hendak ‘Sabah for
Malaysia’ dan ‘Malaysia for Sabah’. Dengan ini, kita (Malaysia) akan
maju.
“Keputusan (jawatankuasa khas) akan dibuat dalam masa tidak lama lagi
bagi mengagihkan hak rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya berucap
merasmikan sambutan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan di Kompleks
Sukan Likas, malam tadi.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Tan
Sri Musa Aman; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar
Mohamad Asfia Awang Nassar yang mewakili kerajaan Sarawak; Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta barisan
kepimpinan kerajaan persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak.
Najib berkata, kerajaan persekutuan tetap menghormati dan menghargai
keputusan Sabah yang bersetuju untuk bersama Sarawak dan Semenanjung
bergabung membentuk Malaysia.
Katanya, kerajaan persekutuan juga sentiasa berusaha mengurangkan,
sekaligus menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak
dengan Semenanjung bagi memastikan pembangunan di kedua-dua negeri itu
seimbang dengan negeri lain.
Usaha mengimbangi pembangunan itu, katanya, antara lain dapat dilihat
menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di
Sarawak dan dari Sindumin ke Tawau di Sabah, dengan nilai peruntukan
RM30 bilion.
“Lebuhraya (Pan Borneo) ini tanpa tol kerana ini adalah hadiah kita (kerajaan) kepada orang Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan akan memberi perhatian khusus
dalam menyediakan peruntukan untuk membina lebih banyak kemudahan asas
luar bandar di Sabah dan Sarawak, memandangkan kawasan luar bandar di
negeri terbabit masih memerlukan peruntukan tambahan.
Najib memaklumkan kerajaan turut memberi peruntukan khas dalam sektor
bekalan elektrik kepada rakyat Sabah dan Labuan menerusi bantuan
kewangan RM4.414 bilion dari 2012 hingga 2016 dan geran projek khas
bekalan elektrik khusus untuk 2 wilayah itu sebanyak RM2.295 bilion.
“Dan apa yang kurang diketahui rakyat ada elemen subsidi tersembunyi
yang diluluskan kerajaan melalui Petronas, apabila bekalan elektrik di
Sabah harga gasnya hanya RM6.4 sejuta British Thermal Unit (mmbtu)
berbanding RM22.7 mmbtu harga di Semenanjung.
“Tahun ini sahaja, Petronas memberi subsidi sebanyak RM390 juta untuk
mengurangkan kadar tarif elektrik di Sabah. Inilah antara yang kita
bantu Sabah dan kita nak jamin Sabah dan rakyatnya akan terus mendapat
pembelaan sebaiknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment