Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri
Muhyiddin Yasin menghormati keputusan yang diambil dua ahli parti itu
yang mengumumkan keluar parti semalam.
Beliau malah berkata tidak berasa terkilan dengan keputusan yang
diambil kedua-dua bekas ahlinya itu dan menganggap ia sebagai satu
cabaran kepada parti yang baru setahun ditubuhkan itu.
"Bagi saya itu adalah hak mereka, kita menghormati hak mereka untuk
tidak mahu terus bersama dengan kita, tidak mengapa sebab kita akan
teruskan usaha kita dengan yang masih ada.
"Ini cabaran bagi kita tapi tak mengapa bagi saya itu bukan satu
perkara yang membuatkan saya terkilan, ini keputusan yang telah mereka
buat jadi kita menghormati," katanya ketika ditemui media selepas
menghadiri ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Setapak
malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dua ahli wanita di
dalam parti itu yang mengumumkan untuk tidak lagi mahu berjuang bersama
PPBM berkuatkuasa 16 September iaitu semalam.
Terdahulu, salah seorang daripada pengasas PPBM, Anina Saadudin
bertindak keluar parti hari ini selepas dikatakan sudah tidak lagi tahan
dengan layanan buruk yang diterima beliau ketika berada di dalam parti
itu.
Anina mengkritik kepimpinan parti yang tidak memberikan hak kepada
ahli untuk bersuara dan menyatakan pandangan kepada mana-mana pemimpin
yang seterusnya menjadikan parti itu dikuasai oleh pemimpin yang hanya
mementingkan kuasa politik peribadi mereka sahaja.
Alasan Anina ini dilihat sama dengan seorang lagi pengasas parti itu
yang telah keluar parti pada April lalu, Kamarulazman Habibur Rahman.
Sejurus selepas pengumuman yang dibuat Anina itu, Setiausaha Agung
PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pula mengumumkan peletakan jawatan
Naib Presiden parti, Datuk Hamidah Othman yang berkuat kuasa serta
merta.
Mengulas kekosongan jawatan Naib Presiden yang dipegang Hamidah itu,
Muhyiddin berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu pada
mesyuarat Majlis Tertinggi parti.
"Majlis tertinggi akan putuskan nanti, kita akan putuskan sama ada
boleh diisi atau tidak kita akan rujuk pada pakai undang-undang kita,"
ujarnya ringkas.
Polemik di dalam PPBM kini dilihat semakin teruk selepas satu persatu
ahli mengumumkan untuk keluar parti walaupun baru sahaja setahun
ditubuhkan.
Sehingga kini, keputusan untuk keluar parti yang diambil mereka itu
kebanyakannya disebabkan kelemahan pimpinan tertinggi yang mempimpin
PPBM pada hari ini.
No comments:
Post a Comment