SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata
tiada keperluan untuk parti membincangkan keputusan Tan Sri Muhammad
Muhammad Taib yang telah kembali semula kepada Umno semalam.
Katanya ia perkara biasa dalam dunia politik dan parti perlu meneruskan perjuangan.
"Orang datang dan pergi. Apa yang penting adalah perjuangan harus
ditegakkan. Kita tidak perlu komen atau bincang mengenai mereka yang
telah pergi.
"Mereka yang masih ada perlu mempunyai kepercayaan dan komited dalam
perjuangan ini," katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.
Semalam Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang pernah menjadi Menteri
Besar Selangor mengumumkan keluar PKR kerana kecewa parti itu tidak
mementingkan agenda perjuangan Melayu mahupun Islam.
Muhammad menyertai PKR pada tahun 2015 setelah dua tahun menyertai PAS.
Beliau sebelum itu sekian lama bersama Umno di mana beliau memegang
pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden dan Ketua Penerangan parti.
Sementara itu, Azmin turut ditanya mengenai laporan sebuah NGO kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penjualan
sebidang tanah di Ijok yang bernilai kira-kira RM1.1 bilion, yang
dakwanya berlaku penipuan.
Jawab Menteri Besar Selangor itu, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk
menyiasat perkara itu dan kerajaan negeri bersedia untuk disiasat.
"Tak apa serah kepada SPRM untuk buat siasatan dan kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk disiasat.
"Mengapa perkara ini menjadi perhatian umum kerana kita mengamalkan
sikap yang terbuka. Kita tak pernah nak sorok-sorok apa-apa isu, kita
telus (dan) sesiapa boleh melaporkan kepada pihak berkuasa dan serah
kepada pihak bertanggungjawab untuk disiasat," katanya.
Minggu lalu, sebuah NGO, Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) mendesak satu
siasatan dijalankan terhadap Azmin berhubung penjualan tanah di Ijok.
Presiden IMPAK Datuk Zul Azhari Mohamed Juah mendakwa Azmin
menyerahkan tanah seluas 2,198.4 ekar kepada dua pemaju yang kontraknya
telah dibatalkan pada 2014 oleh kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid
Ibrahim ekoran dua pemaju itu gagal membangunkan tanah berkenaan.
Menurut beliau, ia kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju iaitu
Eco World Group Development Berhad dengan harga RM1.181 bilion.
Katanya, urus niaga tersebut menimbulkan pelbagai keraguan khususnya
kaedah yang digunakan Azmin sewaktu menyelesaikan isu ini.
No comments:
Post a Comment