Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina
Saadudin menyelar Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran masih
gagal menjawab isu kepimpinan yang melanda parti itu seperti didakwa
sebelum ini.
Anina dalam kenyataannya hari ini turut mempersoalkan tindakan Majlis
Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bunga itu yang 'menyisihkan' beliau tanpa
sebarang sebab.
Beliau merujuk kepada cara 'kejam' pemecatan beliau daripada jawatan
ketua srikandi dan kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan
'menendangnya' daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM.
"Pertamanya TSMY menyentuh tentang kononnya saya tidak datang untuk
berbincang dengan beliau tentang isu kepimpinan yang saya bangkitkan.
"Seperkara lagi, saya ingin menyarankan supaya TSMY menjawab isu dengan
isu yang tepat. Jika TSMY persoalkan tentang locus standi, saya jawab
tentang locus standi. Jika TSMY cakap tentang kepimpinan, saya jawab
tentang isu kepimpinan. Jadi, saya harap TSMY akan menjawab isu dengan
betul.
"Kenapa begitu buruk sekali tadbir urus parti ini. Lebih 40 tahun dalam
kabinet dan berpengalaman terkeluar dalam barisan kabinet kerajaan,
takkan TSMY tak tahu bagaimana untuk pecat pemimpin parti. Datuk Seri
Najib pecat TSMY pun dipanggil berdepan untuk berbincang, ada pemakluman
dan ada hitam putihnya.
Jika pecat pemimpin parti seperti lanun yang humban kelasinya ke dalam
laut, bagaimana rakyat nak yakin TSMY boleh memimpin negara," katanya
kepada Antarapos melalui sistem aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, Anina turut menyatakan rasa kecewa dan hairan dengan
keengganan Muhyiddin untuk menjawab persoalan 'lokus standi' walaupun
atas kapasitinya sebagai salah seorang pengasas PPBM.
"Saya telah mempersoalkan tentang locus standi yang dimaksudkan oleh
TSMY kerana saya adalah pengasas bersama PPBM. Saya bimbang beliau masih
bermimpi bahawa dia adalah TPM. Jika parti ini benar-benar mahu
berjuang untuk rakyat maka jangan letakkan jurang antara pemimpin dan
rakyat. Jika benar mahu berjuang demi kebenaran maka beranilah berkata
benar dihadapan rakyat. Kenapa mengelak utk berdepan dgn saya.
"TSMY gagal membuktikan yang beliau berani berhadapan dengan saya dan
tidak menjawab isu lokus standi yang saya persoalkan. Sebaliknya hari
ini beliau melalut dengan kenyataan yang tidak pun meletakkan dirinya
pada standard seorang bekas Timbalan Perdana Menteri," tambahnya.
Pertelagahan antara bekas ketua srikandi tersebut dan Muhyiddin
diperlihat umum selepas tindakan Anina keluar parti pada Sabtu lalu.
Beliau mengumumkan keluar daripada PPBM, parti yang diasaskannya
bersama beberapa bekas pemimpin Umno yang diterajui Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Keputusan nekad tersebut dibuat selepas sudah tidak lagi tahan dengan
layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam parti tersebut.
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak
memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini
telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
Pada hari yang sama, turut mengikut jejak langkah Anina adalah Datuk
Hamidah Osman yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden PPBM.
Alasan yang sama turut disuarakan pemimpin dan ratusan ahli parti itu
yang kemudiannya bertindak keluar parti sebelum ini, termasuk salah
seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman pada April lepas.
No comments:
Post a Comment