Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PKR Selangor meneruskan rundingan dengan PAS untuk
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan saingan dua
penjuru menentang Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya di negeri
itu.
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar mengesahkan perbincangan PKR
dengan PAS di peringkat negeri terus diusahakan Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali namun menegaskan bahawa komitmen parti itu kepada
Pakatan Harapan (PH) tidak harus dipersoalkan.
"Apa yang saya tahu ialah kita setuju dengan keputusan Pakatan Harapan
(PH). Di Selangor kita memang ada berunding sikit dengan PAS. (Soalan:
Pada ketika ini?) Iya," kata Xavier kepada Antarapos.
Xavier menjelaskan PKR terus mengusahakan perbincangan dengan PAS bagi
memperolehi sebarang penyelesaian bersabit pengagihan kerusi dalam
menghadapi pilihan raya.
Namun tambah beliau, sekiranya hasil perbincangan tidak seperti yang
diharapkan, PKR tetap bersedia untuk menghadapi saingan pelbagai penjuru
termasuk daripada PAS pada PRU14 kelak.
Apa yang penting kata beliau ialah jangka masa sesuai ditetapkan untuk
mencapai hasil yang disasarkan dalam rundingan PKR-PAS itu.
"Walaupun PKR melalui Datuk Seri Azmin Ali akan adakan perbincangan
untuk lihat penyelesaian dengan PAS, tetapi mesti ada masa yang
diberikan untuk kita capai satu hasil daripada perbincangan ini.
"Dari itulah kita boleh teruskan, namun dalam masa yang sama khususnya
di Selangor, kita minta kawasan yang kita bertanding agar bersedia
hadapi tiga penjuru jika perbincangan dengan PAS tak jadi.
"(Sedia untuk tiga penjuru) kalau perbincangan tak ada hasil yang
menunjukkan apa-apa tukaran yang kita fikirkan," jelas beliau.
Tambah Xavier, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR wajar memaklumkan
hasil daripada perbincangan itu kepada parti dan juga rakan komponen
dalam PH.
"Pada ketika ini Datuk Seri Azmin dia memang ada kuasa sebagai Timbalan
Presiden dan dia dapat kelulusan parti untuk adakan perbincangan.
"Tapi hasil perbincangan itu kita belum tahu lagi. Saya harap hasil itu
akan diberitahu kepada seluruh komponen PH, serta masa yang kita
tetapkan mesti diberitahu kepada semua," ujar beliau.
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah
memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada
PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga
penjuru dalam pilihan raya itu.
Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sepucuk
surat pada 2 September lalu berkata beliau mempersetujui usaha Azmin
berunding dengan PAS dalam membentuk kerjasama bagi menumbangkan
Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata surat Anwar menimbulkan
"masalah" kepada pakatan pembangkang itu dan usaha akan dilakukan bagi
memastikan PKR berhenti mengadakan rundingan untuk menjalin kerjasama
dengan PAS.
No comments:
Post a Comment