KUALA LUMPUR: Pengerusi baru Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV),
Datuk Wira Azhar Abdul Hamid akan mempengerusikan mesyuarat bersama ahli
lembaga pengarah dan pengurusan utama apabila memulakan tugas
pertamanya dengan syarikat itu esok.
Bercakap kepada Bernama semalam, Azhar berkata beliau akan berusaha
sebaik mungkin untuk memulihkan FGV dan menambah nilai kepada syarikat
pertanian dan komoditi dunia itu.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengembalikan keyakinan
terhadap syarikat, dan memastikan semuanya dilakukan mengikut cara yang
betul… oleh itu jika ada yang jelas, kami perlu betulkan.
“Dan, saya juga mahu memastikan kami dapat menyelesaikan isu berkaitan Ketua Pegawai Eksekutif secepat mungkin,” katanya.
Azhar mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak atas pelantikan itu, dan memberi jaminan bahawa FGV akan
melaksanakan janji-janjinya kepada pemegang kepentingan di bawah
kepimpinan beliau.
Pada Jumaat, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Azhar, yang akan
mengambil alih jawatan itu daripada pemangku pengerusi FGV Tan Sri Dr
Sulaiman Mahbob, yang juga pengarah bukan eksekutif syarikat berkenaan.
Dalam kenyataannya, Najib berkata beliau yakin Azhar yang memiliki
pengalaman luas mampu mengetuai FGV dengan berkesan, dan pada masa yang
sama meningkatkan keyakinan pelabur, dan menterjemahkannya dalam bentuk
harga saham syarikat yang lebih kukuh.
Azhar turut ditanya mengenai kekeliruan susulan pengumuman oleh Bursa
Malaysia pada petang semalam bahawa FGV tidak menerima makluman bertulis
daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan) mengenai pelantikan beliau
sebagai Pengerusi FGV.“Perkara itu akan selesai pada pagi Isnin,” kata
Azhar.
Azhar sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malakoff
Corporation Bhd dan pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mass
Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam sektor perladangan bersama Sime
Darby sebagai Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan and
Perniagaan Pertanian, dan Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif dari 20
Mei 2010 hingga Jun 2010.
“Saya telah mengetuai beberapa syarikat senaraian awam dan selain itu
perladangan merupakan bidang yang sangat saya minati.“Oleh itu, saya
tidak sabar lagi untuk memenuhi cabaran, dan saya amat berminat untuk
memulihkan dan menambah nilai kepada organisasi,” kata Azhar.
No comments:
Post a Comment