Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno bersama parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) serta beberapa NGO lain hari ini mendesak
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu sidang khas
tergempar berkenaan krisis kemanusiaan etnik Rohingya.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sehubungan itu
satu demonstrasi bantahan atas semangat solidariti akan diadakan esok di
hadapan Wisma PBB dan pejabat Kedutaan Myanmar.
Ujarnya, satu memorandum rasmi turut akan diserahkan kepada PBB bagi mendesak kekejaman ke atas etnik minoriti itu dihentikan.
“Kami sebulat suara terus mengecam tindakan genosid dan tidak
berperikemanusiaan oleh pihak dan institusi berkuasa ke atas etnik
Rohingya di wilayah Rakhine yang bertambah buruk sejak dua minggu lalu.
"Kami akan minta supaya campur tangan lebih berkesan dan
dipertimbangkan supaya tidak gagal lagi. Dah berapa kali semua ini.
Mereka diserang, dirogol dan dibakar hidup-hidup. Kita suarakan sekali
lagi langkah diplomasi melalui PBB," katanya dalam sidang media
tergempar berkenaan isu tersebut di PWTC, hari ini.
Khairy turut menyatakan sokongan terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang mahu campur tangan PPB dalam menangani isu
tersebut.
"Kami menyokong gesaan Perdana Menteri agar Setiausaha Agung PBB,
Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan
konflik berdarah ini secara keseluruhan.
"Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesaian jangka
panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta-merta, bermula dengan
sidang media tergempar PBB.” kata Khairy.
Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan
(NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa DAP 'menghalang' ahli
parti Pakatan Harapan (PH) menyertai himpunan bantahan yang akan
diadakan esok.
"Saya dihubungi oleh rakan PKR, BERSATU (PPBM) dari sebelah sana nak
bersama sekali tapi dihalang oleh DAP. Saya tak tahu kenapa Pakatan
Harapan (PH) tak benarkan PKR, PPBM untuk bersama kami menunjukkan
solidariti. Tunjuk dukacita terhadap penindasan terhadap kekerasan
Myanmar terhadap Rohingya.
"DAP ini kita sedia maklum, yang dibunuh, dianiaya, dibakar hidup-hidup
adalah seagama Islam dengan kami ini kemungkinan mereka halang parti
gabungan mereka nak bersama kami. Patutnya ini bukan soal parti, marilah
rakyat Malaysia bersama-sama tunjuk protes apa yang dilakukan oleh
kerajaan Myanmar," tambahnya.
Mesyuarat tergempar sayap pemuda Umno yang disertai parti-parti
komponen BN, dan beberapa NGO lain diadakan selepas krisis tersebut
sampai kemuncaknya 25 Ogos lalu apabila lebih 400 rumah dibakar serta
ratusan rakyat etnik itu dibunuh dan dibakar.
No comments:
Post a Comment