Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS Kedah memberi amaran kepada rakyat negeri itu supaya
bijak membuat pilihan dengan memilih kerajaan yang layak dalam
membangunkan negeri yang juga dikenali sebagai 'Jelapang Padi' itu.
Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kedah Salim Mahmood berkata, selain
daripada memilih Umno-Barisan Nasional (BN), rakyat Kedah juga harus
tidak terpedaya dengan helah yang dimainkan Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana ujar beliau, PH kini telah dikawal oleh DAP dan tidak
mustahil parti yang didominasi kaum Cina itu akan memerintah kerajaan
kelak.
"Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk
bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan (PH).
"Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya,
serta bukti dominasi DAP ke atas PH. Ia membenarkan sama sekali
kenyataan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH
bererti memberi undi kepada DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga tidak menolak DAP yang kini dalam peracangan mahu
melebarkan pengaruhnya dengan meminta beberapa kerusi tradisi PKR dalam
usaha bertapak di Kedah.
"Pada semua strategi diatur itu, beliau meletakkan jaminan menambah
sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah
melebarkan pengaruh di negeri ini.
"Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh
kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan PH dipengaruhi
mereka," katanya lagi.
Tambah beliau lagi, rakyat juga tidak wajar memberikan peluang kepada
Umno-BN lagi ekoran tiada perubahan yang besar dilakukan, sebaliknya
mereka hanya berebut jawatan sesama sendiri.
"Paling penting, pastinya rakyat mendapat pengalaman berguna sepanjang
lebih empat tahun BN mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri Kedah sejak
PRU13 tahun 2013 lalu.
"Ternyata sepanjang tempoh ini, undi rakyat telah dipersiakan dengan
porak peranda politik yang dilakukan para pemimpin BN Kedah. Sesama
mereka sibuk berebut jawatan hingga berlaku pertukaran Menteri Besar dan
penyingkiran," kata beliau.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Kedah bersedia menyahut kembali untuk
merampas negeri itu dengan mengisytiharkan akan bertanding disemua 36
DUN dan 15 Parlimen seluruh negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
No comments:
Post a Comment