Tuesday, September 19, 2017

Nor Mohamed Yakcop letak jawatan timbalan pengerusi Khazanah Nasional Bhd

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Nor Mohamed Yakcop, yang baru-baru ini mengaku bertanggungjawab atas kerugian Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asingnya kira-kira 30 tahun lalu, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi di syarikat pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Berhad berkuat kuasa 30 September ini.
 
Beliau juga melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
 
"Peletakan jawatan itu dikemukakan pada Mesyuarat ke-84 Lembaga Pengarah Khazanah, hari ini," kata Khazanah melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
 
Perdana Menteri Najib Razak selaku Pengerusi Khazanah merakamkan terima kasih kepada Nor Mohamed atas sumbangannya kepada syarikat itu terutamanya dalam menjayakan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
 
"Lembaga Pengarah menerima keputusan beliau dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," kata Najib, dalam kenyataan yang sama.
 
Nor Mohamed, 70, berkhidmat dengan Khazanah selama 15 tahun. Beliau merupakan ahli lembaga pengarahnya yang paling lama berkhidmat sejak 2002 dan satu-satunya timbalan pengarah syarikat itu dalam sejarah 23 tahun penubuhannya. Beliau jadi timbalan pengarah Khazanah pada 3 Jun, 2013.
 
Menurut Khazanah, Nor Mohamed bertanggungjawab atas beberapa inisiatif syarikat itu antaranya pembangunan koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia serta penubuhan Yayasan Hasanah dan KRI, selain merombak Khazanah sejak 2004. 
 
 

No comments: