Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib
kembali menyertai UMNO kerana kecewa PKR tidak mementingkan agenda
perjuangan Melayu mahupun Islam.
"Hal agenda Melayu, hal agama tidak disentuh ini tidak sihat. Satu masa
nanti wujud pergesesan yang kuat (akhirnya) politik dikuasai oleh orang
lain.
"Saya percaya UMNO parti yang kukuh dan menjaga kepentingan orang Melayu dan jaga kepentingan orang lain.
"Rakyat dari semua keturunan mendapat faedah sejak lahir. Saya tidak
boleh berada di sana (PKR), lagi lama lagi rugi...saya memperjuangan
kepentingan Melayu," katanya.
Muhammad menyertai PKR pada tahun 2015. Sebelum itu beliau menyertai
PAS pada tahun 2013 setelah sekian lama bersama UMNO di mana beliau
memegang pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden dan Ketua Penerangan
parti.
Kemasukkan semula Muhammad Taib diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.
“Beliau amat menyedari bahawa perjuangan parti pembangkang khususnya
PKR amat sia-sia sahaja dan amat bertentangan dengan jiwa dan semangat
yang ada pada beliau,” kata Najib merujuk kepada keputusan Muhammad
menyertai semula UMNO.
“Sebab itulah Allah telah membuka hatinya untuk kembali menyertai UMNO,” tambah Najib.
Muhammad hadir bersama Najib pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebentar tadi.
Keputusan Muhammad kembali ke UMNO dilihat akan memperkuatkan kempen
parti itu untuk menawan semula Selangor daripada pembangkang yang
dipimpin oleh PKR sejak 2008.
Muhammad adalah bekas ADUN Hulu Selangor dan menjadi Menteri Besar dari
tahun 1986 sehingga 1997 dan masih dilihat berpengaruh, khususnya di
Selangor, justeru diumpan oleh pembangkang sebelum ini.
Najib yakin Muhammad akan kembali berperanan cergas memperkukuhkan UMNO.
No comments:
Post a Comment