Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Dua bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Anina Saadudin dan bekas naib presidennya Datuk Hamidah Osman, bertindak
keluar parti kerana tidak mempunyai semangat berpasukan, kata Ketua
Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Kamaruddin Md
Noor.
Ujarnya, ia ditambah dengan kekecewaan kerana beberapa permintaan mereka tidak dipenuhi pucuk pimpinan parti.
"Bekerja dalam parti ini dia berdasarkan kepada semangat kesukarelawan.
Kalau orang yang tidak bersedia untuk bekerja lagi kita tak boleh nak
paksa dia.
"Ternyata sikap kecewa ini timbul apabila kita punyai satu hasrat yang
tinggi dan kita mengharapkan pimpinan memenuhi hasrat itu. Jika hasrat
itu tidak dapat dipenuhi maka kita akan jadi kecewa. Bukan begitu?
"Jadi kecewa ini rasa yang terhasil daripada satu keadaan yang tidak
penuhi citarasa kita. Kita nak macam itu maka tidak jadi begitu. Kita
rasa kecewa. Kalau kita tidak ada kehendak untuk apa-apa. Maka ikhlas
saja, kita tidak rasa kecewa lah," kata Kamaruddin ketika dihubungi
Antarapos hari ini.
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, perletakan jawatan Anina dan
Hamidah tidak mengejutkan sama sekali malah parti sudah pun menjangkakan
perkara tersebut akan berlaku.
"Tidak mengejutkan sebab kita sudah tahu keadaan dan sikap mereka. Jadi
tidak mengejutkan. Walaupun kita mengharapkan mereka terus bersama
tetapi oleh kerana mereka telah membuat keputusan untuk keluar. Jadi
kita ingin ucapkan selamat maju jaya lah," ujarnya.
Mengulas kekosongan jawatan naib Presiden yang dilepaskan Hamidah,
Kamaruddin berkata hal itu bakal dibincangkan di peringkat pusat selain
mempertimbangkan untuk meletakkan calon wanita.
"Itu saya serah pada pucuk pimpinan tetapi saya fikir elok juga kalau
kita serah kepada seorang tokoh wanita lain. Saya merasakan sewajarnya
diisi oleh seorang wanita juga, "tambahnya.
Semalam, Anina yang merupakan seorang daripada pengasas PPBM,
mengumumkan keluar parti selepas dikatakan sudah tidak lagi tahan dengan
layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam parti yang diteraju
Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Ini termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua
srikandi PPBM, kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan
“menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM, selain tidak
mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu.
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak
memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini
telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
Alasan Anina ini dilihat sama dengan seorang lagi pengasas parti itu
yang telah keluar parti pada 19 April lalu, Kamarulazman Habibur Rahman
yang turut membawa keluar 821 ahli.
Menambah polemik dalaman PPBM, sejurus selepas pengumuman yang dibuat
Anina itu, Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pula
mengumumkan peletakan jawatan Hamidah yang berkuat kuasa serta merta.
No comments:
Post a Comment