Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Amanah menjangkakan PAS bakal kalah teruk, terutamanya di
negeri pantai barat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, PAS bukan lagi menjadi calon
utama yang bakal diundi oleh rakyat selepas parti itu tidak lagi bersama
Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.
Sebaliknya ujar beliau, pertandingan kini diantara PH dan Umno-Barisan Nasional (BN) sahaja.
Mat Sabu berkata demikian berdasarkan pengalamannya ketika berada dalam
parti pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang sebelum meninggalkan parti itu
pada tahun 2015.
"Pakatan Harapan berlawan dengan Barisan Nasional, selalunya rakyat dia
memilih kumpulan mana yang dia lihat boleh memerintah, sama ada mereka
memilih PH atau tolak BN, yang tengah-tengah (PAS) jarang mendapat undi.
"Pengalaman kita, terutama di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan
Melaka kita bertanding dahulu bila cara berseorangan, kebanyakannya kita
hilang pertaruhan, kita mula mendapat undi dan kemudiannya menang di
beberapa tempat bila bersama DAP dan Keadilan (PKR).
"Oleh itu kalau PAS kembali bertanding berseorangan, dia hanya akan
mendapat undi 'core' ahli dia sahaja dan saya rasa negeri-negeri yang
saya sebut tadi, mereka akan alami kekalahan yang dahsyat pada PRU akan
datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah
peringkat negeri Selangor pagi tadi.
Rabu lalu Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu,
parti itu bercadang bertanding lebih 100 kerusi Parlimen pada PRU14.
Katanya lagi, PAS melalui Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga kini
sedang mengenalpasti kawasan Parlimen yang akan ditandingi.
Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan 236 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malah di Selangor juga parti itu mahu bertanding di kerusi yang kini
dipegang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali masing-masing di DUN Kajang dan Bukit Antarabangsa.
No comments:
Post a Comment