Wednesday, September 20, 2017

MAPIM rancang himpunan sejuta orang bantah kekejaman ke atas Rohingya

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang mengusahakan himpunan sejuta orang bagi mengecam kezaliman ke atas etnik Rohingya di Myanmar.
 
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid memberitahu selain Malaysia sekurang-kurangnya 50 ibu negara seluruh dunia akan diajak untuk turut serta menyatakan bantahan terhadap Myanmar.
 
"Kita paling dekat dengan Myanmar. Kalau kita jauh (Myammar mungkin tak rasa apa-apa). Jadi mereka akan terus membunuh. Myanmar perlu rasa 'cubitan' itu.  
 
"Isu Rohingya sedang meningkat. Sekarang tak boleh nak elak (daripada orang bercakap). Sekarang semua orang tengah bercakap (perihal itu). Nigeria tak pernah bercakap (tapi) kini mereka bercakap (mengenainya)," katanya dalam sidang medianya selepas mesyuarat Perhimpunan Semangat Sejuta Umat (PASU), di Karangkraf, hari ini.
 
Sejak beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman dan kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.
 
Operasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati daripada Kerajaan Myanmar. 
 
Azmi yang mesra disapa Cikgu Azmi dalam pada itu memberitahu pihaknya masih berbincang mengenai tarikh serta lokasi penganjuran himpunan itu namun menyenarai pendekkan dua tarikh iaitu 28 September atau 4 Oktober 2017.
 
Cikgu Azmi yakin sasaran untuk himpunan itu mencapai angka sejuta orang tidak mustahil berikutan rakyat negara ini begitu terkenal dengan sikap sukakan keamanan dan benci pada kezaliman.
 
"Kalau PM sendiri boleh sampai mesej bahawa 'Saya akan hadir' ia sendiri boleh menghimpunkan minima 100,000 peserta. Tapi kita nak sejuta peserta. Saya kira tidak mustahil sebab mesejnya kuat.
 
"Bila kita berhimpun ramai-ramai, PM boleh kata 'lihat, rakyat saya mendesak saya. Kamu (kerajaan Myanmar) perlu hentikan (pembunuhan) ini'," katanya lagi.
 
Cikgu Azmi yang juga pengarah kepada himpunan itu menyeru rakyat Malaysia agar menolak fahaman politik dan melihat penganjuran program itu atas premis yang lebih besar iaitu hak asasi manusia serta kebajikan ummah.
 
"Saya nak merayu kepada seluruh rakyat bahawa pilihan raya umum (PRU) adalah tanggungjawab kita. Ini menunjukkan Malaysia akan jadi negara contoh, pilihan raya berjalan seperti yang kita mahu tapi isu dunia tidak diketepikan.
 
"Kalau ada yang mengatakan tunggu PRU selesai, saya rasa itu adalah tidak bertanggungjawab. Hanya kerana mahu bertanding pilihan raya kamu biar orang dibunuh," katanya.
 
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita apakah responnya apabila himpunan itu bakal dikaitkan dengan fahaman politik dan juga isu PRU, memandangkan parti-parti politik juga dijemput untuk menghadiri bakal melibatkan ahli serta parti politik.
 
Himpunan bertemakan 'Hari Kemarahan Dunia' itu juga bakal menggunakan satu logo, satu tema pakaian, satu deklarasi seragam seluruh dunia malah akan melibatkan ramai tokoh keamanan luar negara seperti bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB), Kofi Annan serta beberapa penerima anugerah Nobel Keamanan Dunia.
 
 

No comments: