Wednesday, September 20, 2017

291 mangsa kebakaran terima sumbangan RM1,000 hasil kutipan derma DAP




SEREMBAN: Seramai 291 mangsa kebakaran Pasar Besar Seremban yang terdiri daripada peniaga menerima sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang dalam satu majlis anjuran DAP di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil daripada kempen kutipan derma orang ramai yang dilaksanakan DAP selama lapan hari berturut-turut.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke

Setakat semalam, katanya, lebih RM310,000 berjaya dikutip dengan RM291,000 disumbangkan kepada mangsa manakala selebihnya akan disalurkan ke Persatuan Kebajikan Peniaga Pasar Besar Seremban.

“(Kutipan ini) menunjukkan orang ramai amat prihatin kepada tuan-tuan dan puan-puan, peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja di Pasar Besar Seremban.

“Jadi hari ini, sedikit sebanyak, kita membantu daripada apa yang telah kita kutip untuk diserahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP dalam ucapannya itu turut menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian orang ramai menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa.

Penyerahan sumbangan itu dilakukan dalam bentuk cek oleh Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang turut hadir memeriahkan majlis.

Menurut laporan media, pekerja Pasar Besar Seremban mendengar bunyi letupan yang kuat dan gegaran sebelum api yang marak menjilat bahagian atas pasar berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 malam pada 9 September lepas.

Muhamad Fahmi, 40, yang merupakan peniaga buah-buahan di pasar berkenaan ketika ditemubual Roketkini berkata, sumbangan yang diterimanya itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapinya.

Muhamad Fahmi, 40, peniaga buah-buahan

“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak bolehlah membantu saya untuk membeli kembali peralatan-peralatan kecil yang rosak akibat kebakaran,” katanya.

Peniaga barangan kesihatan, Nurul Hidayah, 47, menganggap kejadian itu sebagai dugaan tuhan dan amat berterima kasih serta bersyukur di atas keprihatinan pihak DAP yang sanggup mengambil inisiatif bagi melakukan kempen kutipan derma tersebut.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan DAP,” katanya. – Roketkini.com


No comments: