Sunday, September 10, 2017

[KEMASKINI] PRU14: Mat Sabu dahului senarai pemimpin Amanah tanding di Selangor

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Amanah bakal menjadikan Selangor sebagai kubu utamanya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan pemimpin utamanya termasuk presiden parti Mohamad Sabu bertanding dikerusi parlimen dan DUN di negeri pimpinan PKR itu.
 
Pengumuman oleh Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim itu sekaligus memperlihatkan kemungkinan besar calon Amanah bersaing dengan PAS dibeberapa kerusi utama di Selangor dalam PRU14 yang dijangka diadakan awal tahun depan. 
 
"Antara mereka yang akan bertanding di Selangor ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Strategi Dr Dzulkefli Ahmad, Ketua AWAN Nasional Dr Siti Mariah Mahmud, Hanipa Maidin dan mereka akan digandingkan dengan pimpinan Amanah Selangor yang lain termasuk Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin," kata Izham. 
 
Beliau berkata demikian semasa ucaptama Konvensyen Amanah peringkat negeri Selangor pagi tadi. 
 
Untuk rekod sebelum ini, Mohamad Sabu bertanding atas tiket PAS dikerusi parlimen Pendang pada PRU13 namun tewas manakala Dr Dzulkefli Ahmad gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Selangor.   
 
Hanifa, Khalid dan Siti Mariah masing-masing memenang kerusi parlimen Sepang, Shah Alam dan Kota Raja  atas tiket PAS pada PRU13. 
 
Begitu juga Saari (DUN Hulu Kelang) dan  Hasnul (DUN Morib).   
 
Kesemua mereka menyertai Amanah setelah keluar daripada parti itu tahun lalu. 
  
PAS Selangor sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN, termasuk yang disandang oleh pemimpin Amanah dan PKR. 
 
Parti itu mengambil ketetapan bahawa kerjasamanya dengan PKR di Selangor hanya sehingga mandat kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang ada sekarang berakhir dengan pembubaran DUN untuk menghadapi PRU14. 
 
Dalam pada itu, Izham turut menyelar PAS selepas parti itu menolak untuk bekerjasama dengan PH bagi menuju PRU14.
 
"Kita melihat PAS mempunyai banyak dolak-dalihnya, mereka tidak dapat bersama kerana ada DAP yang merupakan musuh Islam yang tegar tetapi yang anehnya DAP yang sama boleh pula dijadikan kawan sejak dua  PRU yang lalu dan sehingga hari ini masih bersama dalam kerajaan negeri Selangor," kata beliau. 
 
PAS beberapa kali menegaskan ia tidak akan mengikat sebarang kerjasama dengan PH dan menganggap Amanah dan DAP sebagai dua musuh utamanya manakala PPBM yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perosak perpaduan orang Melayu dan Muslimin.  


No comments: